6 October 2024, Sunday | 08:56pm

Selangor, UiTM lengkap slot suku akhir Piala Malaysia

2020-11-09

Dua pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang, Selangor dan UiTM FC, melepasi ranjau pusingan pertama untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2020.

Selangor mempertahankan kelebihan dua gol awal untuk menyingkirkan Melaka United 2-1 dalam pertembungan di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Seperti yang dijangkakan, perlawanan berlangsung sengit sebaik sepak mula tetapi Gergasi Merah muncul pasukan yang lebih baik di atas padang becak apabila mendahului perlawanan pada minit ke-21 menerusi tolakan mudah pemenang Kasut Emas musim ini, Ifedayo Olusegun.

Kombinasi berbisa daripada Sandro Da Silva dan Wan Zack Haikal Wan Noor itu kerap memberi tekanan kepada pertahanan tuan rumah yang dibimbing Zainal Abidin Hassan berkenaan.

Wan Zack Haikal meluru dari sayap kanan sebelum menyepak leret ke depan gol untuk disudahkan penyerang dari Nigeria itu.

Melaka semakin tertekan apabila giliran Da Silva menyempurnakan hantaran tinggi Ifedayo dengan satu voli menarik untuk kedudukan 2-0 pada minit ke-52.

Gerakan gol kedua itu mirip gol pertama yang terhasil daripada serangan balas.

Tuan rumah kemudian memasukkan tenaga kreatif untuk menghidupkan peluang dengan memasukkan Syahmim Yahya.

Pemain itu berjaya melepaskan Uche Agba daripada perangkap ofsaid dan seterusnya melepaskan satu sepakan yang melepasi Khairul Azhan Khalid yang kembali mengemudi pintu gol juara 33 kali berkenaan.

Di sebalik kedua-dua pasukan mempamerkan kesungguhan untuk memburu gol, keputusan kekal 2-1 yang memihak kepada Selangor di bawah kendalian jurulatih sementara, Michael Feichtenbeiner.

"Mereka tidak akan rugi apa-apa jadi mereka bekerja keras, kami juga terpaksa bertahan apabila menyekat peluang daripada dicipta oleh Melaka.

"Separuh masa kedua kami mempamerkan bola sepak menarik dengan mencipta banyak peluang.

"Kami semakin yakin dengan gol pertama, buat yang terbaik dan berdepan situasi berbeza dengan beberapa peluang menarik.

"Kami perlukan padang yang baik untuk menyerlahkan kombinasi kami tetapi pihak lawan terlalu bertahan. Lebih-lebih lagi kami mengetengahkan empat pertahanan dan empat pemain tengah jadi bukan mudah buat barisan penyerang.

"Selepas separuh masa pertama, kami mencipta beberapa peluang," kata pakar taktikal dari Jerman itu.

Dalam masa sama, Zainal tetap memuji komitmen anak buahnya meskipun berputih mata sambil menyifatkan ketumpulan jentera serangan memadam perjuangan mereka musim ini.

"Saya memang kecewa kami tidak dapat ke pusingan seterusnya.

"Tetapi pemain tidak berputus asa, dari separuh masa pertama lagi kami mencipta peluang.

"Mereka bertungkus lumus hingga minit akhir. Satu pujian buat pemain.

"Disiplin permainan amat penting, peluang yang diterima perlu disudahkan. Kami mencipta peluang tetapi tidak berputus asa.

"Sebab itulah perlawanan malam ini amat berbeza dan pemain terus mengasak tetapi kami tewas," katanya.

Sementara itu, UiTM FC turut menafikan kebangkitan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung apabila lolos dengan kemenangan 3-2.

Anak buah Frank Bernhardt itu seharusnya mendahului selesa lebih daripada dua gol yang disumbangkan Arif Anwar dan Rafie Mat Yaakob dalam separuh masa pertama.

Kedudukan itu hampir menjerat mereka apabila The Red Warriors mengikat kedudukan 2-2 dalam tempoh tiga minit melalui penyudah Danial Asraf Abdullah sebaik melewati sejam permainan.

Namun, Arif memusnahkan harapan skuad kendalian Yusri Che Lah itu dengan gol kemenangan pada minit ke-67.

 

Perlawanan suku akhir:

Pulau Pinang lawan UiTM

Johor Darul Ta'zim lawan Kuala Lumpur

Terengganu lawan Perak

Kedah lawan Selangor

Sumber: stadium astro

 

No votes yet