27 July 2024, Saturday | 06:32pm

Reezal tak mahu jadi macam Vietnam

2020-10-02

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum bersedia melaksanakan pembukaan fasa lima dan enam bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata ia berikutan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 di Malaysia ketika ini.

"Saya fikir bukan kata Malaysia, malah ada negara yang pada peringkat awal membenarkan penonton akhirnya menarik semula.

"Sebagai contoh Vietnam, membenarkan penonton menghadiri perlawanan bola sepak dan akhirnya kes COVID-19 meningkat dan sekarang mereka sudah tarik semula.

"Kita tidak mahu buat sesuatu (keputusan) kemudian kita tarik balik," katanya selepas melancarkan Esports Integrated (ESI), di sini semalam.

ESI adalah sebuah inisiatif baharu daripada KBS yang dikuasakan oleh Impact Integrated, untuk mendorong pertumbuhan dan kepelbagaian dalam industri e-sukan tempatan.

Fasa lima sektor sukan dan rekreasi merujuk kepada kehadiran penonton ke stadium dengan skala kecil manakala fasa enam pula adalah kehadiran penonton ke stadium dengan skala besar serta penyertaan atlet luar negara dalam kejohanan tempatan.

Ketika ini, sektor sukan dan rekreasi dibenarkan untuk dilaksanakan pada Fasa 4 bermula 15 Ogos lalu dengan kebenaran menganjurkan kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan bersentuhan fizikal tanpa penonton.

"Pada waktu ini, saya harap sangat mereka yang dibenarkan setakat fasa empat, terus patuh prosedur operasi standard (SOP).

"Selagi mana kerajaan mempunyai keyakinan bahawa dalam bidang sukan tidak ada langsung penularan kes baharu, selagi itu ia akan menjadikan peluang saya untuk mengemukakan sektor sukan untuk ke fasa lima dan enam, menjadi lebih mudah," katanya.

Sumber: BHOnline

 

No votes yet