28 March 2024, Thursday | 07:20pm

Quartararo tekad ulangi magis di Valencia

2020-11-05

LONDON – Fabio Quartararo yakin keputusan terbaik di Grand Prix (GP) Valencia musim lalu akan membantu pasukannya melakukan persiapan menjelang perlumbaan di Litar Ricardo Tormo hujung minggu ini.

Pada musim 2019, pelumba Petronas Yamaha Sepang Ra­cing Team (SRT) menempah petak pertama dan menamatkan saingan di tempat kedua di litar tersebut sekali gus membuatkan Quartararo yakin pasukannya itu tidak berdepan masalah mendapatkan pelarasan terbaik jentera mereka.

Quartararo berdepan nasib malang pada dua perlumbaan di Aragon selepas sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 dan kelapan menyebabkan dia ketinggalan 14 mata di belakang pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir.

“Walaupun kami berdepan dua perlumbaan yang sukar di Aragon bulan lalu ia tidak mematahkan semangat saya untuk beraksi di Valencia pada hujung minggu ini.

“Valencia merupakan salah satu litar kegemaran saya dan litar tersebut tidak terlalu panjang. Perasaan saya cukup baik ketika mengemudi jentera Yamaha tahun lalu selepas menaiki podium dan menempah petak pertama.

“Sudah pasti saya meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk mengulangi pencapaian tersebut sekali lagi. Masih terdapat tiga perlumbaan musim ini dan saya akan lakukan yang terbaik,” kata Quartararo.

Pelumba Perancis, Quartararo mempunyai peluang untuk kembali memimpin perebutan gelaran juara dunia MotoGP musim ini sekiranya Mir gagal mengutip sebarang mata di Valencia dan dia berjaya berada di podium. – AGENSI

Sumber: KOSMO

 

No votes yet