29 March 2024, Friday | 10:38pm

Prestasi Adam makin mencanak-canak

2020-11-03

PENCAPAIAN pelumba Moto2 negara yang bersaing dalam Kejuaraan CEV Repsol pada musim ini, Adam Norrodin boleh dibanggakan selepas dia menamatkan saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Keputusan itu menyaksikan pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor tersebut memperbaiki kedudukan musim lalu apabila sekadar menamatkan kejuaraan di tempat ke-15.

Adam yang mewakili pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu mengumpul 79 mata menerusi lapan pusingan musim ini meskipun berdepan prestasi tidak menentu.

“Secara keseluruhan, saya menamatkan saingan musim ini di kedudukan ketujuh. Satu musim yang cukup mencabar, lebih-le­bih lagi berdepan dengan prestasi turun naik.

“Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara positif boleh diambil daripada saingan musim ini bagi memastikan prestasi lebih baik bagi musim depan,” katanya yang pernah beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3.

Mengulas prestasinya pada perlumbaan terakhir musim ini di Litar Ricardo Tormo, Valencia, pelumba berusia 22 tahun itu mengakui sedikit kecewa apabila menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat kelapan.

“Saya agak kecewa pada perlumbaan pertama kerana jatuh ke kedudukan kesembilan pada awal saingan. Meskipun berusaha untuk mengejar, namun saya hanya dapat memintas seorang pelumba.

“Kemudian, pada perlumbaan kedua, saya bermula baik dan mengekalkan kedudukan di tempat keenam dalam sebahagian besar perlumbaan. Bagaimanapun, saya sukar untuk mempertahankan kedudukan pada dua pusingan terakhir dan menamatkan saingan di tempat kelapan,” ujarnya.

Sebagai rekod, Adam berdepan masalah arm pump sejak pertengahan musim ini sehingga menjejaskan tunggangannya dalam setiap perlumbaan

Sumber: KOSMO

 

No votes yet