29 March 2024, Friday | 05:26pm

McGregor puji persembahan Khabib... zahirkan takziah, penghormatan kepada keluarganya

2020-10-26

BERITA mengenai persaraan juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov tentunya mengejutkan ramai peminat terutama peminat sukan tempur.

Selepas kemenangannya ke atas Justin Gaethje pada aksi UFC 254 awal pagi tadi, bintang MMA itu mengumumkan persaraannya dari sukan tersebut.

Keputusan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ‘seteru utamanya’ Conor McGregor.

Walaupun McGregor dan Khabib sering dilihat bersengketa sejak pertembungan mereka pada UFC 229 lalu, namun itu hanyalah sewaktu mereka di ‘arena’ pertarungan.

Jaguh dari Ireland itu menerusi ciapan di Twitternya memuji persembahan Khabib sambil mengucapkan takziah sekali lagi kepada Khabib atas pemergian bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.

“Persembahan yang baik, Khabib. Saya akan teruskan (pertarungan).

“Penghormatan dan takziah sekali lagi atas (pemergian) bapa kamu,” katanya.

Pada Mei lalu, ketika Khabib dilanda kesedihan susulan bapanya yang sedang kritikal pada masa itu, McGregor merupakan antara yang terawal mendoakan kesembuhan Abdulmanap.

“Mendoakan kesembuhan Abdulmanap Nurmagomedov. Lelaki yang bertanggungjawab melahirkan lebih ramai juara dunia dari pelbagai disiplin, lebih dari apa yang kita ketahui.

“Seorang ahli seni bela diri genius yang sejati! Sangat sedih mendengar khabar berita mengenainya. Berdoa untuk keluarga Nurmagomedov ketika ini,” kata McGregor.

Bapa Khabib meninggal dunia pada Julai lalu dipercayai akibat jangkitan COVID-19.

Kesihatan Abdulmanap, 57 tahun, dilaporkan kritikal akibat jangkitan paru-paru (pneumonia).

Persaingan di antara Khabib dan McGregor wujud sejak pertembungan mereka di UFC 229, Oktober lalu.

Pertarungan itu berakhir dengan McGregor ditundukkan menerusi 'submission' (kuncian) pada minit 3.03 pusingan keempat.

Selain McGregor, beberapa bintang sukan tempur lain turut memberi reaksi mengenai persaraan Khabib di Twitter mereka.

 

Sumber: astro AWANI

No votes yet