27 July 2024, Saturday | 06:24pm

JDT kini sasar pertahan Piala Malaysia

2020-10-05

JOHOR BAHRU: Selepas misi menjuarai Liga Super buat tujuh musim berturut-turut tercapai, pemburuan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kini terarah kepada usaha mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia.

Keinginan itu diluahkan pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora yang mahu meneruskan momentum kejayaan pasukan itu dalam saingan domestik sebaik tirai sebaik saingan liga berakhir.

"Kami akan teruskan usaha untuk memburu apa jua kejuaraan pada musim ini dan salah satunya adalah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia. Sudah pasti kami akan beri yang terbaik pada saingan itu.

"Walaupun saya akui bakal berdepan tugas rumit, namun dalam saingan kompetitif kita harus sentiasa bersedia untuk menggalas tugas dan tanggungjawab untuk membawa kejayaan buat JDT," katanya selepas perlawanan menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Mengulas kejayaan JDT merangkul kejuaraan liga untuk tujuh musim berturut-turut, Mora mengakui setiap pemain beremosi ketika menjulang piala berkenaan tanpa kehadiran penyokong yang menjadi pembakar semangat buat barisan pemain.

Katanya, penyokong adalah nadi utama kejayaan sesebuah pasukan kerana penyokong akan sentiasa berada bersama pasukan berbanding pemain dan jurulatih bersilih ganti.

Apapun Mora tidak menafikan aksi menentang skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto tampak sukar selepas pasukan itu mengamalkan corak permainan bertahan yang menyukarkan barisan pemain JDT mencipta jaringan.

"Kami kerap melakukan serangan pantas tapi pemain lawan bertindak dengan cara bertahan malah pemain juga sukar menembusi benteng pertahanan lawan. Akibatnya, pemain saya tampak kecewa sepanjang 30 minit babak pertama.

"Selepas jaringan Diogo (Luis Santo), barulah kami mula menguasai perlawanan dan corak pemainan yang lebih agresif di babak kedua. Hasilnya kami menang dan tiga mata yang amat penting itu milik JDT untuk rangkul kejuaraan liga," kata Mora.

Sumber: BHonline

 

Average: 5 (1 vote)