3 December 2020, Thursday | 04:30pm

Hangus RM25 juta

2020-11-16

Kuala Lumpur: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul apabila pembatalan perlawanan suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini mencetuskan impak besar kepada pasukan dan penganjur apabila anggaran kerugian yang perlu ditanggung adalah mencecah RM25 juta.

Jumlah yang agak besar itu membabitkan beberapa faktor antaranya perjanjian antara pasukan bertanding dan juga Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pembayaran logistik, tenaga kerja dan beberapa perkara lain yang boleh dianggap 'hangus' apabila perlawanan terbabit dibatalkan.

Malah, situasi terbabit juga dibimbangi akan memberi kesan kepada industri bola sepak pada musim hadapan apabila kemungkinan pihak penaja akan takut untuk menaja berikutan aktiviti sukan tidak dapat dilaksanakan ketika negara masih lagi dibelenggu pandemik Covid-19.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa setiap pasukan kemungkinan berhadapan kerugian RM200,000 hingga RM500,000 apabila Piala Malaysia dibatalkan.

Beliau berkata, impak kerugian boleh diibaratkan seperti 'rantaian domino' dengan pihak yang turut terbabit penganjuran Piala Malaysia perlu menanggungnya, sekali gus mungkin ada antaranya hilang pekerjaan.

''Kita perlu akur dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menangguhkan suku akhir Piala Malaysia bagi membendung penularan Covid-19.

''Namun, adakah kita terfikir kesannya kepada rantaian yang turut menjejaskan pendapatan beberapa pihak termasuk pasukan dan penganjur.

''Sudah pastinya, kerugian kasar yang mereka perlu tanggung sehingga perlawanan akhir Piala Malaysia mencecah RM25 juta termasuklah berpotensi hilang penaja selepas ini,'' katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, MFL terpaksa 'mengalah' dengan membatalkan kejohanan Piala Malaysia selepas kerajaan meminta pertandingan itu ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Sementara itu, Sadek berkata, pembatalan Piala Malaysia bakal menyaksikan sukan bola sepak negara kehilangan aura seterusnya akan memberi kesan kepada saingan Liga Malaysia musim depan.

''Kita mengharapkan saingan Liga Malaysia tahun depan lebih rancak namun perkara itu bergantung kepada keadaan semasa pasukan yang rata-rata mengalami pengurangan peruntukan ketika ini,'' katanya.

Sumber: myMetro

 

No votes yet