15 August 2020, Saturday | 09:26am

BWF batalkan Terbuka Switzerland, Kejuaraan Eropah

2020-06-11

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Rabu mengumumkan pembatalan dua kejohanan badminton iaitu Terbuka Switzerland dan Kejuaraan Eropah 2020.

Kedua-dua kejohanan itu sebelum ini diletakkan sebagai 'ditangguhkan' sehingga tarikh yang bersesuaian, bagaimanapun BWF semalam mengumumkan pembatalannya.

Terbuka Switzerland, acara Super 300 dalam Jelajah Dunia BWF, dijadualkan berlangsung pada 17-22 Mac, sementara Kejuaraan Eropah di Kyiv, Ukraine, dijadualkan pada 21-26 April, sebelum BWF menangguhkan semua kejohanan akibat pandemik COVID- 19.

"BWF dalam rundingan dan mendapat kata sepakat dengan Swiss Badminton serta penganjur kejohanan itu, memutuskan adalah tidak wajar untuk menganjurkan kejohanan berkenaan pada tarikh lain dalam tahun 2020.

"Badminton Europe dan Persekutuan Badminton Ukraine (UBF) juga bersetuju bahawa langkah terbaik adalah membatalkan Kejuaraan Eropah 2020. UBF telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah edisi 2021 dan akan diadakan di ibu kota Ukraine itu dari 27 April hingga 2 Mei, 2021," kata badan induk badminton dunia itu dalam satu kenyataan.

Lima hari lepas, BWF mengumumkan pembatalan tiga kejohanan iaitu Terbuka Australia 2020 (2-7 Jun), Terbuka Hyderabad (11-16 Ogos) dan Masters Korea (24-29 Nov).

Menurut kalendar kejohanan BWF 2020 yang dikemas kini, Masters China dijadualkan semula pada 25-30 Ogos di Sanya, dan mungkin menjadi acara badminton antarabangsa pertama selepas kejohanan Seluruh England pada Mac kerana sebahagian besar kejohanan masih ditangguh, ditunda atau dibatalkan.-- BERNAMA

Sumber: astroAWANI

 

No votes yet