27 July 2024, Saturday | 06:29pm

Zoo Negara mohon dibenarkan beroperasi ketika PKPB

2020-12-02

KUALA LUMPUR: Zoo Negara berharap kerajaan dapat mempertimbang untuk membenarkan ia kembali beroperasi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan.

Timbalan Presidennya Rosly @ Rahmat Ahmat berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diteliti.

Antara SOP tersebut, katanya, mengehadkan hanya 1,500 pengunjung di lokasi ikon riadah negara itu secara berperingkat pada satu-satu masa, dalam tempoh sehari.

"Saya lihat kalau dibandingkan dengan tempat lain, ia dibuka dan (diadakan) dalam kompleks, dan kita terbuka dengan (kawasan) seluas 63 ekar.

"Sebagai contoh, di Melaka walaupun diadakan PKPB, tetapi zoo mereka dibuka. Sambutan agak kurang tetapi sekurang-kurangnya ia dibuka," katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rosly berkata pihaknya yakin penjarakan fizikal dapat dipatuhi, selain persediaan rapi sentiasa dibuat oleh Zoo Negara.

"Jadi, kalau kita buka memang ramai orang akan datang sebab selepas PKP dulu, saya jangkakan selepas enam bulan dibuka, baru pengunjung akan datang ke Zoo Negara.

"Tetapi mengejutkan, bulan pertama telah tular kerana terlalu ramai orang datang," ujar beliau.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet