30 November 2021, Tuesday | 01:08pm

‘Gold Mine International’ pelaburan palsu

2020-12-18

KUALA LUMPUR – Taktik sekumpulan individu menjanjikan pulang keuntungan tinggi menerusi pelaburan emas tidak wujud terbongkar selepas kesemua mereka diberkas dalam tiga serbuan semalam.

Serbuan di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor itu membawa kepada penangkapan empat suspek termasuk dalang utamanya yang dikenali dengan panggilan Datuk Nadim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sebanyak sembilan laporan polis membabitkan kerugian RM930,920 dikaitkan dengan nama pelaburan ‘Gold Mine International’ itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati mereka ini aktif sejak September lalu dan mangsa menyedari ditipu selepas pautan portal bagi menjana pelaburan berkenaan ditutup.

“Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud menerusi empat pakej membabitkan nilai pelaburan antara 100 USD (RM420) hingga 10,000 USD (RM42,000) dengan pulangan 10 peratus hingga 13 peratus.

“Keuntungan itu akan meningkat apabila mangsa melabur dengan jumlah besar sekali gus memperoleh keuntungan antara RM42 hingga RM5,400 setiap minggu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut turut mendapati suspek utama itu sudah didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada tahun 2017 atas kesalahan penipuan pelaburan Crude Palm Oil.

Jelas beliau, tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 diambil termasuk menyita harta milik lelaki berusia 60 tahun itu.

“Dalam semua serbuan itu, kita merampas tiga telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM13,600, beberapa kad ATM serta satu fail mengandungi pelbagai dokumen dipercayai berkaitan pelaburan sindiket berkenaan.

“Kesemua empat suspek itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas iaitu Norafindi Daim, 48, yang beralamat terakhir di Jalan Naib Long, Tangkak, Johor.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Hateem Ayub Khan di talian 018 9144 979 untuk tindakan lanjut.

Sumber: K! ONLINE.

 

No votes yet