3 December 2020, Thursday | 03:35pm

Yuna ‘cemuih’ dikritik netizen

2020-11-09

PETALING JAYA – Penyanyi tersohor, Yuna kesal dengan sikap segelintir netizen yang sewenang-wenangnya mengkritik gaya tudungnya yang disifatkan seperti ‘tidak cukup kain’.

Segelintir peminat meninggalkan komen kurang sensitif dipercayai dalam salah satu perkongsian foto yang dimuat naik di Instagram.

“Aku tak faham. Tudung kau kan ada lebih kenapa kau tak lilit kat leher itu. Buruk sungguh fesyen begitu. Rasanya tak ada orang orang ikut, maknanya tak lawa lah,” tulis seorang pengguna Instagram.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 33, membalas komen itu melalui satu status dalam Instagram secara ringkas dengan loghat Perlis berbunyi: “Aku cemuih la.”

Seorang pengguna Instagram lain turut mengkritik fesyen bertudung pelantun lagu Dan Sebenarnya itu dengan komen: “Aku pun tak faham. Macam mana dia boleh dapat idea (bertudung) macam ini.”

Cemuih merupakan perkataan popular loghat utara biasanya Perlis atau Kedah yang membawa maksud jemu atau bosan.

Ini bukan kali pertama gaya tudung beani (bertopi) Yuna itu dikritik netizen. Umum juga tahu, sejak awal kemunculannya, Yuna hanya menggayakan tudung bawal sinonim dengan imej berturban.

Dalam perkembangan lain, Yuna meluahkan rasa kagum terhadap sejarah baharu dalam sistem pemerintahan Amerika Syarikat apabila Kamala Harris menjadi wanita pertama dilantik sebagai Naib Presiden negara Uncle Sam itu.

“Ini (kejayaan Kamala) membuatkan saya ingin menangis. Wow,” tulis Yuna melalui Instagram miliknya.

Yuna melebarkan kerjayanya di peringkat antarabangsa sebagai pemuzik dan berpangkalan di AS sejak 2011.

Sumber: KOSMO

 

No votes yet