28 March 2024, Thursday | 08:19pm

Wak Doyok didakwa guna lambang Kemahkotaan Sultan Johor tanpa kebenaran

2020-05-06

JOHOR BAHRU: Personaliti popular Wak Doyok dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan tanpa kebenaran bertulis lambang Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bagi tujuan persendirian, akhir bulan lepas.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 41, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob.

Tertuduh didakwa membuat kesalahan berkenaan di pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri pada 30 April kira-kira 2.15 petang.

Wak Doyok yang juga ahli perniagaan itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (3) enakmen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memohon mahkamah untuk menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Syaffie Naim dan MN Halim Md Amin, memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan pendapatan tertuduh telah terjejas berikutan wabak COVID-19 dan masih menjaga ibunya yang berusia 78 tahun.

Wan Mohd Norhisham kemudiannya memerintahkan Wak Doyok membayar jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin.

Hakim kemudian menetapkan sebutan semula pada 15 Jun depan bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, Wak Doyok yang berkemeja batik coklat tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi.

Personaliti itu baru-baru ini mengundang kontroversi susulan tindakannya menempah dan membeli cincin dengan ukiran lambang peribadi Sultan Ibrahim pada 2018 melalui dalam talian daripada sebuah syarikat di Indonesia.-- BERNAMA

Sumber: astroAWANI

 

No votes yet