17 April 2021, Saturday | 07:12pm

Vaksin ditemui faktor harga emas turun

2020-12-01

KUALA LUMPUR: Berita pengumuman penemuan vaksin COVID-19 yang memberi kelegaan kepada semua orang di dunia termasuk di Malaysia menjadi faktor utama penurunan harga emas secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Perunding Pelaburan Emas, Syukor Hashim, berkata dari awal Januari sehingga Ogos tahun ini berlaku trend kenaikan harga emas sebanyak 37 peratus dan pernah melebihi RM300 segram, namun harga itu telah jatuh semula dan terkini RM256 segram.

"Punca harga emas naik itu disebabkan ancaman COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia dan orang ramai tidak berani berbelanja yang secara tidak langsung menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat.

"Namun apabila berita vaksin COVID-19 telah dijumpai tersebar, ia dilihat sedikit sebanyak mengurangkan risiko ancaman COVID-19 dengan pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat ekonomi dunia akan kembali pulih. Justeru, dalam situasi ini emas dilihat hilang tarikan sebagai aset selamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan sehingga ada antara mereka telah mengabaikan SOP COVID-19 semasa urusan jual beli di kedai.

Ditanya mengenai bila jangkaan penurunan harga emas ini akan berakhir, Syukor berkata ia tidak boleh dijangka kerana ia dipengaruhi berita dari semasa ke semasa yang memberi kesan kepada naik turun harga emas.

"Sebagai contoh, bagaimana proses peralihan kuasa Amerika Syarikat antara Joe Biden dengan Donald Trump, sekiranya ada 'drama' antara mereka harga emas boleh naik semula begitu juga implikasi berita politik mengenai Iran yang mendakwa saintis nuklearnya dibunuh oleh Israel.

"Dengan kata lain, harga emas naik bukan berpunca daripada COVID-19 sahaja tapi banyak faktor lain namun faktor utama tahun ini adalah wabak itu," katanya.

Beliau berkata, apa sahaja situasi yang berlaku di Malaysia tidak mempengaruhi langsung perubahan harga emas. – BERNAMA

Sumber: BH Online

 

No votes yet