13 November 2024, Wednesday | 07:30am

Tiada DNA babi dalam mi kari – KPDNHEP

2020-11-24

PUTRAJAYA – Hasil ujian makmal terhadap sampel mi kari yang diambil dari sebuah restoran terkenal baru-baru ini mendapati tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) babi ditemui pada hidangan itu seperti yang didakwa.

Perkara itu disahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman, hari ini.

Menurutnya, Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya serta beberapa cawangan KPDNHEP Selangor telah menghantar beberapa sampel yang mengandungi daging yang diambil dari restoran tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

“Hasil daripada analisis dan ujian makmal Jabatan Kimia Malaysia itu yang dijalankan ke atas sampel daging yang diterima mendapati hanya unsur DNA ayam dikesan di dalam daging berkenaan dan tiada unsur DNA babi.

“Melalui keputusan analisis terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar Halim berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa patuh terhadap perundangan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan supaya pengusaha makanan dan minuman tidak sewenangnya menyalahgunakan kelulusan yang diberikan dengan maksud berselindung dan mengaburi pengguna melalui kelulusan terbabit.

“KPDNHEP juga ingin menyeru kepada pengguna agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu yang tidak sahih melalui laman media sosial yang mana boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat atau menyemak berkaitan dengan isu halal oleh pihak pengusaha makanan dan minuman disarankan supaya menghubungi talian hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di

Enforcement Command Centre (ECC) atau melalui web KPDNHEP.

Tambahnya, aduan juga boleh disalurkan boleh melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 dan setiap aduan mestilah lengkap mengandungi nama, nombor telefon, premis, lokasi, gambar aduan yang dimaksudkan dan resit jika aduan berkenaan dengan harga dan pembelian.

Baru-baru ini, tular rakaman video oleh netizen di media sosial kononnya sebuah restoran terkenal menyajikan mi kari yang mengandungi daging babi.

Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil mengesahkan bahawa produk mi kari yang dijual di premis makanan dan minuman, Oldtown White Coffe adalah halal malah, restoran itu juga adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Sumber: K! ONLINE

 

No votes yet