17 April 2021, Saturday | 07:19pm

Sarawak, Petronas meterai perjanjian penyelesaian komersial Isnin depan

2020-12-03

KUCHING: Kerajaan Sarawak dan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan menandatangani perjanjian penyelesaian komersial pada 7 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Negeri, Datuk Amar Asfia Awang Nassar berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan ke atas terma-terma ditetapkan.

“Selepas perbincangan lanjut antara kerajaan negeri dan Petronas bersetuju dengan terma-terma penyelesaian komersial.

“Jawatankuasa Perundingan pada mesyuarat hari ini dimaklumkan mengenai skop, ciri dan terma-terma penting Penyelesaian Komersial selain faedah serta kelebihan ketara yang akan diperolehi Sarawak menerusi perjanjian ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.//

Tambah Asfia, perjanjian itu akan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion mewakili Kerajaan Sarawak manakala Petronas akan diwakili pengerusinya Tan Sri Ahmad Nizam Salleh.

"Butiran terperinci mengenai perjanjian itu akan diumumkan selepas majlis menandatangani perjanjian," katanya.

Perjanjian yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu disaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pada Mei lalu, Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Petronas telah bersetuju untuk menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan cukai jualan negeri (SST) tanpa melibatkan tindakan undang-undang.

Malah sebelum ini tindakan undang-undang yang dilakukan oleh kedua-dua pihak telah digugurkan pada Ogos selepas mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan perkara itu di meja rundingan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet