27 July 2024, Saturday | 05:42pm

MYEG-Zhifei kerjasama dapatkan sijil halal vaksin Covid-19

2020-12-07

Kuala Lumpur: MYEG Services Bhd (MYEG) mengumumkan kerjasama dengan Anhui Zhifei Longcom Biopharmaceutical Co Ltd (Zhifei) untuk mendapatkan pensijilan halal Malaysia bagi vaksin Covid-19 yang dihasilkan syarikat biofarma itu.

Ia juga antara lain membabitkan persetujuan untuk mengedarkan secara eksklusif vaksin berkenaan di Malaysia bagi tempoh tiga tahun.

MYEG dalam kenyataan berkata, kedua-dua syarikat menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk persetujuan mengendalikan fasa ketiga ujian klinikal vaksin keluaran Zhifei di Malaysia dan mencapai standard dalam mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Memandangkan standard halal Jakim diiktiraf di peringkat antarabangsa, maka akreditasi yang diterima daripada badan ini akan memastikan peningkatan penerimaan vaksin dalam kalangan penduduk Islam global.

"Selain itu, pelaksanaan ujian klinikal fasa ketiga ini akan menjadikan vaksin buatan Zhifei menjadi antara yang pertama untuk melakukan ujian peringkat akhir di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Zhifei ialah anak syarikat Chongqing Zhifei Biological Products Co Ltd, yang disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen dan telah terbabit dengan industri produk bilologi sejak 2002, terutamanya pengeluaran vaksin untuk kegunaan manusia.

Zhifei ketika ini adalah antara satu daripada lima syarikat China yang sedang menjalankan ujian klinikal fasa ketiga untuk vaksin Covid-19 di pelbagai pelusuk dunia.

Sumber: myMetro

 

No votes yet