29 March 2024, Friday | 06:14pm

COVID-19: Moderna rancang edar 100-125 juta dos vaksin awal tahun depan

2020-12-04

WASHINGTON: Moderna merancang untuk mengedarkan antara 100 hingga 125 juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkannya, pada suku pertama tahun depan.

Ketika mengumumkan perkara itu, semalam, syarikat bioteknologi terbabit memaklumkan bahawa sebahagian besar vaksin berkenaan akan dibekalkan kepada Amerika Syarikat (AS).

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, antara 85 hingga 100 juta dos akan diedarkan di AS, manakala negara lain memperoleh baki 15 hingga 25 juta lagi.

Moderna turut mengesahkan syarikat itu menjangkakan sebanyak 20 juta dos vaksin berkenaan diedarkan di AS menjelang akhir tahun ini.

Syarikat itu telah mengusahakan rantaian pengeluaran dan bekalan di AS selama berbulan-bulan, sebagai persediaan untuk jangkaan vaksin berkenaan mendapat kelulusan kecemasan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA).

Bagi semua negara di luar AS, pengeluaran vaksin terbabit akan dilakukan di Switzerland.

AS dilaporkan merancang untuk mengagihkan 40 juta dos vaksin menjelang akhir tahun ini, termasuk yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech.

Ia bermakna 20 juta penduduk akan divaksinasi menjelang akhir tahun ini dengan masing-masing perlu diberikan dua dos.

Jawatankuasa penasihat di FDA akan meneliti vaksin dibangunkan Moderna pada 17 Disember ini, manakala mesyuarat berhubung vaksin dihasilkan Pfizer-BioNTech pula dijadualkan pada 10 Disember. - AFP

Sumber: BH Online

 

No votes yet