17 April 2021, Saturday | 07:53pm

Cari strategi baharu tangani golongan antivaksin

2020-12-07

KUALA LUMPUR: Perlu ada strategi baharu dalam mendidik golongan antivaksin, terutama sekali selepas vaksin COVID-19 diperkenalkan kelak.

Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Zamberi Sekawi berpendapat, isu keselamatan yang sering dibangkitkan golongan ini bukan perkara baharu dan ia perlu diselesaikan dengan pendekatan yang lebih berkesan.

"Sentimen mereka sama terhadap semua vaksin, bukan vaksin COVID-19 sahaja. Sudah terbukti vaksin amat berkesan dalam mencegah penyakit berjangkit.

"Kita sudah melihat impaknya apabila meninggalkan amalan imunisasi, penyakit berjangkit yang berbahaya menular dengan mudah dalam populasi masyarakat.

"Sebenarnya, ramai juga golongan yang bukan antivaksin tetapi mereka duduk atas pagar, mungkin kurang yakin. Jadi tugas kita meyakinkan mereka.

"Bagi golongan yang memang antivaksin pula, apapun kita buat mereka tetap dengan pendirian mereka bahawa vaksin tidak selamat, jadi kita perlu ada strategi lain," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

Isu keselamatan, tambah Dr. Zamberi, tidak perlu menjadi kerisauan kerana Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan vaksin yang selamat sahaja diluluskan untuk digunakan.

"Setakat ini data-data yang diberikan kepada orang ramai dan komuniti saintifik menunjukkan ia selamat. Ia sudah melalui tiga fasa ujikaji dan setakat ini belum ada laporan kesan sampingan yang teruk.

"Kesan sampingan seperti demam itu biasa, vaksin lain juga ada kesan sampingan sedemikian.

"Di Malaysia, kita ada badan seperti Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang akan meneliti data yang diserahkan, malah KKM juga sudah beri jaminan hanya vaksin yang selamat sahaja didaftarkan dan diluluskan untuk kegunaan," katanya.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet