29 March 2024, Friday | 03:39pm

Beli bawang negara lain yang lebih murah - KPDNHEP

2020-12-03

KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan untuk beralih membeli bawang merah dan bawang besar yang diimport dari negara lain susulan harga produk itu dari India yang melonjak ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata kekurangan bekalan bawang dari India di pasaran tempatan sekarang kerana negara itu banjir.

Katanya, masalah timbul apabila penawaran dan bekalan tidak seimbang yang mana pengguna lebih suka membeli bawang merah dari India.

"Pengguna boleh membeli bawang merah dan bawang besar yang diimport dari negara lain seperti China, Thailand dan Myanmar. Harga bawang besar dan bawang merah dari India pernah mencapai harga antara RM13 hingga RM18 sekilogram berikutan banjir yang melanda negara itu.

"Rakyat lebih suka bawang India dan kebetulan India mengalami banjir maka bekalannya berkurangan. Bila penawaran berbeza permintaan maka harganya naik," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 KPDNHEP, di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu mengenai kenaikan harga bawang India dibangkitkan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dalam perbahasan RUU berkenaan.

Rosol turut menjelaskan kementerian sentiasa bergerak dan menguatkuasa bekalan dan harga barang terutama dalam keadaan rakyat tertekan kesan kemelesetan ekonomi akibat COVID-19.

"Menjadi tanggungjawab kementerian memastikan harga barang tidak meningkat dan keberadaan barang di pasaran, ...kita selalu pantau pasaran barang keperluan harian," katanya.

Mengenai kenaikan minyak masak dalam botol lima kilogram, katanya kementerian hanya mengawal harga dan bekalan minyak masak satu kilogram saja yang ditetapkan RM2.50 sekilogram.

Sumber: BH Online

 

No votes yet