29 March 2024, Friday | 08:53pm

Belanjawan 2021 lulus di peringkat dasar di Dewan Rakyat

2020-11-26

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada peringkat dasar selepas mendapat sokongan daripada ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu pada jam 3.28 sebentar tadi.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan penggulungan RUU Perbekalan 2021 untuk bacaan kali kedua kira-kira sejam sebelum mendapat sokongan semua ahli Parlimen kerajaan.

Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Belanjawan berkenaan juga merupakan yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Belanjawan 2021 dibentang Tengku Zafrul pada 6 November lepas dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung sejak 9 November lalu.

Mengikut Takwim Dewan Rakyat, ia kini akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagian sekali lagi diadakan. - BERNAMA

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet