27 July 2024, Saturday | 06:31pm

Anugerah Filem Huawei medan pelapis tonjol bakat

2019-12-19

KUALA LUMPUR: Anugerah Filem Huawei anjuran bersama jenama telefon pintar berkenaan dengan Kumpulan Media Prima Berhad dilihat antara medan terbaik untuk golongan pelapis arena perfileman menonjolkan kemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata, peserta yang dilihat berpotensi untuk memajukan hasil penerbitan syarikat berkenaan pula berpeluang menjalinkan kerjasama bersama mereka.

"Selain mencari penggiat filem kreatif dan mampu menghasilkan karya menerusi peralatan dan aplikasi disediakan telefon pintar keluaran jenama terbabit, kami juga menggunakan acara ini bagi mengesan bakat baharu dalam bidang perfileman.

"Ia juga memberikan peluang kepada lebih ramai golongan pelapis untuk berkarya. Dengan hanya menggunakan telefon pintar, sutradara atau tukang cerita yang bagus boleh diketengahkan.

"Jika ada peserta yang dilihat berpotensi, kami akan menawarkan mereka peluang kerjasama dalam menghasilkan filem cereka, drama bersiri ataupun animasi bersama Primeworks," katanya kepada BH Online.

Menurut Ahmad Izham lagi, beliau percaya, acara terbabit bukan sahaja mampu mengetengahkan penggiat filem berdaya saing dan kreatif, malah berupaya tampil bersama idea lebih segar.

"Jika ada jalan cerita atau tema yang dipilih nanti dirasakan menarik serta berbeza, tidak mustahil untuk kami mengangkatnya ke dalam pelbagai bentuk penerbitan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran anugerah itu, di sini.

Yang turut hadir, Presiden Kumpulan Perniagaan Pengguna, Huawei (Asia Pasifik), Alex Lin, dan Ketua Pegawai Pemasaran, Huawei (Asia Pasifik), Samuel Huang.

Mereka yang berminat untuk menyertai acara bertaraf Asia Pasifik itu boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web https://consumer.huawei.com/my/campaign/film-awards/

Bertemakan ‘Empowering Your Possibilities’, tarikh tutup penyertaan adalah pada 25 Februari 2020 dan keputusan pula akan diumumkan pada Mac.

Pada majlis itu, hadirin turut dipertontonkan dengan lima filem pendek hasil arahan penggiat seni tempatan, Jess Teong, Tuan Faisal, Nik Amir, Kroll Azly dan Gavin Yap.

Sumber: Berita Harian

 

No votes yet