6 October 2024, Sunday | 08:37pm

300 klinik swasta gulung tikar

2020-12-16

PETALING JAYA – Kemelesetan ekonomi kesan pandemik Co­vid-19 sejak awal tahun ini mengakibatkan kira-kira 300 da­ripada 7,000 buah klinik swasta di seluruh negara terpaksa gulung tikar.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. M. Subramaniam berkata, pihaknya juga menjangkakan lebih banyak klinik bakal ditutup selepas ini sekiranya pandemik Covid-19 berterusan untuk satu tempoh yang panjang.

Katanya, keadaan ini berlaku memandangkan klinik swasta tidak lagi menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk mendapatkan rawatan ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Mengikut rekod terkini, hampir 300 daripada 7,000 buah klinik swasta di seluruh negara telah ditutup dan dijangkakan angka itu akan bertambah.

“Pesakit tidak lagi datang ke klinik swasta kerana perlu membayar kos yang sedikit tinggi sedangkan kehidupan mereka agak sukar ketika ini.

“Saya faham keadaan ekonomi kita sekarang, ditambah pula klinik-klinik swasta ini kena patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac lalu, ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan selain gaji mereka dipotong oleh majikan.

Ekoran situasi itu, ramai yang memilih untuk ke klinik serta hospital kerajaan berbanding ke klinik-klinik swasta.

“Keupayaan penjagaan kesihatan swasta masih kurang dimanfaatkan dan hanya kemudahan kesihatan milik kerajaan yang digunakan untuk melawan wabak Covid-19.

“Sudah tiba masanya kita meredakan tekanan kepada petugas kesihatan awam dan melihat kekuatan gabungan kesihatan awam bersama swasta untuk meningkatkan usaha dalam pengurusan Covid-19 serta ke­perluan penjagaan kesihatan lain,” katanya.

Subramaniam berkata, banyak klinik dan hospital swasta di seluruh negara melaporkan penurunan kehadiran pesakit antara 70 hingga 80 peratus.

“Ramai doktor senior yang berpengalaman turut mempertimbangkan untuk bersara dan pihak kami percaya, jika kerjasama antara kesihatan awam dan swasta dapat dilaksanakan, ia akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Pesakit juga akan dilayan dengan lebih baik apabila ke­dua-dua sektor memaksimumkan perkhidmatan kesihatan berbanding bekerja secara berasingan,” katanya.

Tambahnya lagi, kini terdapat seramai 7,000 doktor kesihatan terlatih di Kementerian Kesihatan (KKM) dan 3,000 lagi pakar swasta yang berkhidmat di lebih 200 hospital swasta di seluruh negara.

Sumber: KOSMO

 

No votes yet