29 March 2024, Friday | 08:10pm

200 permit rentas daerah dikeluarkan sehari

2020-12-04

Gua Musang: Sebanyak 3,974 permit dikeluarkan kepada orang ramai yang ingin merentas daerah sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) Covid-19 di Kelantan sejak 26 November lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, secara purata sebanyak 200 permit dikeluarkan sehari, namun banyak juga permohonan terpaksa ditolak kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan.

"Kami bertegas tidak melayan permohonan orang ramai untuk mendapat surat kebenaran rentas daerah yang tidak jelas tujuannya.

"Kita juga tidak akan bertolak ansur dan mengarahkan mereka yang tidak ada surat kebenaran supaya berpatah balik jika ditahan di sekatan jalan raya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekatan Jalan Raya, di Kem Semor Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mohd Taufik turut meninjau operasi 24 jam pemeriksaan kenderaan PKPB Covid-19 yang masuk hari ke 12, hari ini.

Katanya, terdapat dua lokasi sekatan jalan untuk merentas ke daerah lain negeri ini termasuk satu lagi di Simpang Tiga Kampung Lembaga Jalan Gua Musang-Jeli.

"Sekatan itu bukan sahaja kerana PKPB dan mengawal penularan Covid-19 tetapi untuk pencegahan jenayah serta pemeriksaan trafik," katanya.

Sumber: myMetro

 

No votes yet