29 March 2024, Friday | 03:47pm

101,385 tuntut Insuran Kehilangan Pekerjaan - Perdana Menteri

2020-12-08

KUALA LUMPUR: Seramai 101,385 pekerja yang kehilangan pekerjaan menuntut Insuran Kehilangan Pekerjaan setakat 3 Disember lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Perdana Menteri, statistik tersebut menunjukkan peningkatan berbanding kira-kira 40,000 dan 24,000 pekerja masing-masing pada 2019 dan 2018.

Beliau berkata, 52 peratus daripada jumlah tersebut merupakan golongan yang berpendapatan RM2,000 sebulan dan ke bawah, iaitu kumpulan miskin dan miskin tegar.

"Kerajaan menyedari kesukaran yang dihadapi oleh rakyat luar bandar dan bandar akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehubungan itu tumpuan akan diberikan kepada meningkat kesejahteraan rakyat dan menangani miskin bandar dan luar bandar," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu - Tambun).

Ahmad Faizal meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan telah mengenal pasti golongan yang jatuh ke kategori miskin dan miskin tegar secara tiba-tiba akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kaedah yang digunakan untuk membantu golongan tersebut.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, berdasarkan kajian Kemiskinan Bandar dan Kesejahteraan Rakyat membabitkan 500 keluarga di 16 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan yang dijalankan oleh Universiti Selangor (UNISEL) mendapati kadar pengganguran orang dewasa dalam komuniti adalah lebih tinggi iaitu 35 peratus.

"Kadar kemiskinan adalah lebih tinggi daripada tahun lepas iaitu satu daripada setiap dua isi rumah dalam kemiskinan.

"Untuk makluman kerajaan sentiasa memantau keadaan kemiskinan dalam kalangan rakyat melalui sistem e-Ksaih yang akan kita perbaiki," jelas beliau lagi.

Tambah Muhyiddin, kerajaan turut melaksanakan usaha pemulihan merangkumi mengimbangi keperluan ekonomi, sosial dan kesihatan kesejahteraan rakyat terutama golongan yang dikategorikan miskin.

Antara usaha yang dilaksanakan, kata Perdana Menteri ialah bantuan sosial seperti RM2.2 bilion yang diperuntukkan untuk bantuan kewangan bulanan untuk tahun 2021 berbanding RM 1.5 bilion pada tahun ini.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet