29 March 2024, Friday | 01:53pm

Anggota polis bantuan MAHB selamatkan mangsa kemalangan.

2020-12-15

Kuala Lumpur: "Pada mulanya, saya ingatkan pemuda itu 'tidak betul' apatah lagi melihat keadaan dirinya yang tidak terurus," kata anggota polis bantuan, Azizi Azizan, 27, yang bertugas di pos kawalan bantuan Malaysia Airport Holding Berdad (MAHB), Subang, Selangor.

Melihat keadaan pemuda itu, Azizi berkata, dia segera memberi bantuan awal kepada Afiq Zainudin, 24, yang rupa-rupanya terbabit kemalangan di laluan bulatan ke arah terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, kira-kira 6 petang semalam.

"Kejadian itu kali pertama berlaku selama enam tahun saya bertugas sebagai anggota polis bantuan MAHB.

"Saya terkejut tiba-tiba petang itu didatangi pemuda meminta bantuan apatah lagi dengan imejnya yang agak pelik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azizi berkata, dia memberi bantuan awal kepada Afiq dan menyuruhnya menunggu di pondok kawalan tempatnya bertugas sebelum melaporkan kejadian itu kepada pegawai polis bantuan jabatannya untuk tindakan susulan.

"Pemuda itu juga minta menumpang membersihkan badannya yang penuh lumpur dan saya turut memberinya air mineral sementara menunggu bantuan tiba.

"Saya anggarkan pemuda itu berjalan hampir 1 kilometer dari lokasi kemalangan keretanya ke pos kawalan tempat saya bertugas.

"Pemuda itu juga sempat memberitahu sudah pengsan tiga hari dan mahu meminjam telefon saya untuk menghubungi ibunya," katanya.

Namun begitu, Azizi berkata, setelah dihubungi, ibunya memaklumkan anaknya baru saja keluar kelmarin dan tidak dapat menghubunginya.

"Mujur pemuda itu masih mengingati nombor telefon ibunya walaupun dalam keadaan kesakitan dan baru saja kemalangan.

"Saya berharap orang ramai menjadikan perkongsian saya di Facebook mengenai kejadian yang berlaku itu sebagai satu pengajaran.

"Jangan cepat menuduh tanpa usul periksa dan sekurang-kurangnya bertanya dahulu daripada hanya mengabaikan," katanya.

Menurutnya, dia turut berharap pihak berkuasa tempatan menambah baik laluan ke arah terminal LTSAAS itu kerana kawasan itu gelap dan membahayakan pemandu yang melaluinya waktu malam.

Terdahulu, perkongsian Azizi di Facebook miliknya tular sejak semalam sehingga dikongsi hampir 2,000 pengikut setakat ini.

 

Ingatkan org tak betul mai dengan penuh lumpoq 1 badan, dia cakap kemalangan. . dia kata rasa mcm dah 3 hari pengsan. ....

Posted by Azizi Azizan on Thursday, December 10, 2020

 

Rata-rata warganet turut memuji anggota barisan hadapan itu yang membantu menyelamatkan nyawa pemuda yang dipercayai juga penuntut Ijazah Sarjana Muda di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) swasta.

Sumber: myMetro

 

No votes yet