23 September 2019, Monday | 09:45am

Wujudkan akta jaga Jalur Gemilang

2019-08-22

 

YAYASAN Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) gesa agar satu akta khusus diwujudkan bagi melindungi Jalur Gemilang.

Felo Penasihat Biro Perhubungan MCCF Abu Bakar Darham berkata, isu penghinaan kepada Jalur Gemilang yang menjadi maruah dan lambang kemerdekaan Malaysia bukanlah pertama kali berlaku di negara ini.

Menurutnya, ia sudah beberapa kali berlaku sejak 2013 hingga sekarang yang menerbitkan perasaan kurang senang dan marah majoriti rakyat Malaysia.

“Perbuatan sebegini amatlah memalukan pemimpin dan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.
 
“Jadi, sudah tiba masanya pihak kerajaan merangka satu akta khusus untuk melindungi maruah Raja-Raja, pemimpin kerajaan dan prestij bendera Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
 
“Menerusi akta itu, tindakan hukuman penjara dan denda yang berat boleh dikenakan sebagai pengajaran kepada yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
 
Sementara itu, Pengerusi MCCF Halim Ishak berkata, beliau berharap dengan penubuhan pasukan khas kes pencabulan perpaduan yang ditubuhkan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam akan berjaya mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak atau individu yang cuba merosakkan keharmonian atau menerbitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.
 
“Saya juga menyarankan supaya semua pimpinan masyarakat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau aktiviti komuniti setempat dengan melaporkan kepada balai polis berhampiran jika terlihat perbuatan memasang Jalur Gemilang secara terbalik,” katanya.
 
 
 
Sumber: Harian Metro
 
Foto:TheSunDaily

No votes yet