23 August 2019, Friday | 06:47pm

Wendy Ng terus kemaraan di Gwangju

2019-07-18

 

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Wendy Ng berjaya melepasi ke pusingan separuh akhir acara 3 meter papan anjal individu wanita pada Kejohanan Dunia FINA di Gwangju, Korea Selatan sebentar tadi.

Penerjun negara itu yang sebelum ini dibelenggu kecederaan bahu berjaya menempatkan diri di tempat ke-12 dengan mengumpul 279.30 mata bagi berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik bagi meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir pada pukul 3.30 petang waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia).

Seorang lagi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri bagaimanapun gagal meneruskan saingan dengan sekadar menduduki tempat ke-25 dengan merekodkan 249.05 mata.

Acara kelayakan itu menyaksikan kedua-dua penerjun China mendominasi dengan pemenang pingat emas pada Sukan Olimpik 2016 Rio, Shi Tingmao  mendahului apabila mencatatkan 357.90 mata diikuti Wang Hand (356.40 mata). Penerjun Australia, Maddison Keeney berada di tempat ketiga dengan 341.00 mata.

Wendy bagaimanapun perlu menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik pada pusingan separuh akhir petang ini bagi melayakkannya meneruskan saingan di final sekali gus memperoleh tiket awal ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

 

Sumber: Berita Harian

Foto: New Straits Times

 

No votes yet