12 December 2024, Thursday | 09:53am

Wajib daftar MySejahtera di stesen minyak

2020-11-10

PETALING JAYA – Setiap individu yang mengunjungi stesen minyak wajib mendaftar kehadiran menerusi aplikasi MySejahtera sebelum mengisi minyak kenderaan.

Prosedur operasi standard (SOP) itu sama seperti pematuhan pemakaian pelitup muka di lokasi berkenaan bagi mengelakkan tindakan kompaun RM1,000.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, orang ramai yang mengunjungi stesen minyak mesti mengimbas kod MySejahtera walaupun tidak memasuki kedai serbaneka berkenaan.

“Semua orang wajib imbas kod MySejahtera susulan stesen minyak ini sama seperti tempat awam yang mudah terdedah kepada Covid-19.

“Selain itu, ia juga memudahkan pihak berkuasa mengesan kontak jika ada kes pesakit positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, banyak kebaikan sekiranya orang awam mendaftar kehadiran mereka menggunakan aplikasi tersebut.

“Banyak nasihat telah diberikan kerajaan kepada semua rakyat dalam negara ini bagi memastikan rangkaian Covid-19 diputuskan jadi patuhilah SOP termasuk mendaftar kehadiran,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu klip suara menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan bapa kepada seorang lelaki disaman RM1,000 kerana gagal mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sebelum mengisi minyak, walaupun dia memakai pelitup muka.

Sumber: K! ONLINE

 

No votes yet