22 July 2019, Monday | 05:29pm

UEM Group kurangkan lebih 200 pekerja

2019-07-12

KUALA LUMPUR - UEM Group Berhad sedang berusaha mengurangkan jumlah kakitangannya kepada hampir 80 orang yang bermakna syarikat itu akan melepaskan kira-kira 220 orang pekerja.

Menurut portal The Edge Market, laporan Malaysia Reserve yang memetik sumber terdekat dengan perkara itu berkata, kumpulan merancang untuk memperkenalkan pakej Skim Pemisahan Bersama (MSS) kepada para pekerjanya menjelang November tahun ini.

Katanya, syarikat itu sedang menyusun kembali operasinya selaras dengan etika perniagaan baharu oleh pemegang saham tunggalnya.

“Pada masa sama, pihak pengurusan kanan telah isyarat kepada kakitangan-kakitangan yang terlibat untuk memberi mereka masa mencari pekerjaan baharu. Tahun depan mereka akan menawarkan MSS kepada anak-anak syarikat kumpulan.

“Bagaimanapun, Yayasan UEM tidak akan terjejas. Sesetengah pekerja juga telah digerakkan ke dalam anak-anak syarikat,” katanya.

Tambah sumber itu, tindakan mengurangkan pekerja itu adalah untuk mengurangkan perbelanjaan operasi termasuk gaji dan manfaat.

Sementara itu, ketika dihubungi oleh agensi berita berkenaan, UEM mengakui pelaksanaan penstrukturan semula tersebut bagi menjadikan firma itu syarikat pegangan pelaburan yang lebih berdaya maju.

Kata syarikat itu, sebahagian aktiviti penstrukturan semula termasuk penilaian berterusan terhadap 245 kakitangan syarikat yang mana sebahagian mereka akan terus berkhidmat dengan syarikat sementara yang lain akan bekerja dengan anak-anak syarikat UEM Group.

Anak-anak syarikat UEM Group termasuk UEM Sunrise Berhad, UEM Edgenta Berhad, UEM Builders Berhad dan Cement Industries of Malaysia Berhad.

Tindakan tersebut dipercayai mencerminkan gaya pengurusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mahu mengurangkan pertindihan peranan dan menghapuskan tugas bukan kritikal.

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan            https://bit.ly/2XZ01u8

Gambar: themalaysianreserve.com

Average: 5 (1 vote)