13 August 2020, Thursday | 10:53am

Trafik penumpang MAHB melonjak

2018-12-13

KUALA LUMPUR: Jumlah trafik penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi November berkembang 3.8 peratus.

Ia adalah pertumbuhan positif bagi 11 bulan berturut-turut sepanjang tahun ini.

Trafik penumpang November bagi lapangan terbang MAHB, termasuk Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGA) di Turki, berkembang 4.3 peratus tahun-ke-tahun kepada 8.3 juta penumpang, menjadikan jumlah terkumpul trafik penumpang terkini tahun ini kepada 89.7 juta.

“Bagi ISGA, pertumbuhan penumpang antarabangsa yang kukuh sebanyak 15.5 peratus tahun-ke-tahun mengatasi kesan pembatalan laluan harian Izmir oleh syarikat penerbangan Sunexpress dan pengurangan manfaat pesawat oleh Pegasus bagi laluan domestik,” kata MIDF Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Trafik domestik Malaysia bagi November menyaksikan lantunan, melonjak 4.6 peratus kepada 4.0 juta penumpang, peningkatan terbesar sejak Jun 2018 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 11.0 peratus.

Sebahagian besar daripada pertumbuhan disumbang kepada lonjakan 13.1 peratus dalam trafik domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Sementara itu, trafik antarabangsa di Malaysia berkembang 3.9 peratus kepada 4.3 juta, peningkatan terbesar dalam tempoh tiga bulan.

Ia berkata, bermulanya operasi penerbangan syarikat tambang rendah India, Indigo Airlines dan Condor Airlines dari Jerman, masing-masing ke klia2 dan Terminal Utama KLIA memacu pertumbuhan sektor antarabangsa yang menyaksikan pertumbuhan faktor muatan mantap 77.8 peratus pada November.

MIDF Research mengekalkan cadangan BELI ke atas MAHB dengan harga sasaran RM9.88 sesaham.

 

Sumber: BHOnline

Average: 5 (2 votes)

Tags: