23 January 2020, Thursday | 02:01pm

Tomok urus sendiri cukai pendapatan

2019-12-16

 

KUALA LUMPUR: Penyanyi Tomok lebih selesa mengendalikan sendiri urusan percukaian daripada mendapatkan khidmat individu bertauliah atau syarikat perunding.

Tomok berkata, dia suka berurusan di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana prosesnya mudah, selain dapat bertanya pelbagai perkara mengenai cukai pendapatan daripada kakitangan bertugas.

“Saya sengaja berkongsi foto di laman sosial ketika berurusan di LHDN, Jumaat lalu. Saya lebih selesa menguruskan sendiri hal percukaian. Bukan apa, jika ada yang saya tidak faham, kita boleh bertanya kepada pegawai bertugas.

“Sebagai artis, saya fikir, ini sudah menjadi tanggungjawab kita. Apatah lagi, kita tidak ada pendapatan tetap,” katanya kepada BH Online.

Tomok berkata, pegawai LHDN tidaklah tegas seperti didakwa segelintir pihak, malah, mereka sedia membantu memudahkan urusan pembayar cukai.

“Saya lihat masih ada yang tidak mempunyai kesedaran dan memandang lewa hal percukaian hingga tertunggak.

“Apa yang saya kongsi di laman sosial bukan untuk artis, sebaliknya untuk semua rakyat Malaysia,” katanya mengulas entri berkunjung ke LHDN yang dikongsinya, minggu lalu.

Mengenai perkembangan terbaru, Tomok teruja mementaskan konsert bersama anggota New Boyz di Singapura, Februari depan.

“Konsert itu pasti mengubat rindu kami kepada peminat,” katanya yang sedang dalam proses menyiapkan album sulung ketiga yang mendapat sentuhan komposer, Aubrey Suwito.

Tahun ini, New Boyz menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya. Band itu popular dengan lagu Meraung, Rajuk di Hati, Norkia dan banyak lagi.

 

 

Sumber: Berita Harian

Foto: Facebook (Tomok Official)

No votes yet