20 October 2019, Sunday | 02:13am

Tiada siapa berhak menghina anak saya - Jasmin Hamid

2019-09-27

 

KUALA LUMPUR: “Apa yang dilakukan ini demi anak perempuan saya. Apa sahaja rupa dan fizikal anak saya, tiada siapa berhak menghinanya.”

Demikian kata pelakon, Jasmin Hamid, kepada BH Online saat mengulas tindakannya mengemukakan tuntutan saman ke atas tiga individu yang didakwa menghina anak angkatnya, Rohhana Abdul Hamid.

Tegas Jasmin, berikutan digelar ‘bapok’ oleh warganet, kehidupan dan emosi anaknya terganggu.

Katanya juga, tindakan dilakukannya itu bertujuan menjaga maruah Rohhana dan keluarga.

“Tindakan saya ini bukan atas paksi meraih publisiti atau mencari duit lebih menerusi saman ganti rugi malu. Ia lebih kepada memberi pengajaran kepada warganet, khususnya, agar tidak lantang bersuara dan lebih berhati-hati apabila berkata-kata di laman maya.

“Negara kita memiliki undang-undang. Menjadi wira papan kekunci bukan bererti mereka mempunyai lesen bersuara tanpa memikirkan sensitiviti orang lain. Agama kita turut menegah seseorang daripada mencela fizikal orang lain,” katanya.

Pada sidang media kes samannya di Petaling Jaya, semalam, Jasmin yang diwakili peguam, Nasser Yusof, turut menuntut seorang daripada individu terbabit, Izzatul Hairiyah Abdullah, membuat permohonan maaf secara terbuka, selain membayar ganti rugi, akuan bersumpah menarik balik tohmahan, kos guaman dan permohonan maaf bertulis di akhbar

Izzatul yang turut hadir pada sidang media berkenaan memohon maaf di atas kekhilafannya, selain kesal dengan tindakan dilakukannya.

“Saya memohon maaf dan takkan mengulanginya lagi. Saya akui kesal atas tindakan dilakukan terhadap Rohhana. Saya juga tidak sangka komen dilemparkan akan menjadi kes sebesar ini. Maafkan saya,” katanya.

Sekitar Mac lalu, Jasmin membuat laporan polis apabila sekumpulan individu menghina wajah anaknya itu, sebelum memfailkan saman pada 2 Mei lalu.

Selain Izzatul, dua lagi individu yang sudah dikenal pasti juga bakal berdepan tindakan undang-undang.

 

Sumber: Berita Harian

Average: 4 (1 vote)