22 August 2019, Thursday | 10:58pm

Tiada kelibat Sharapova di Terbuka Perancis

2019-05-17

PARIS - Bekas pemain No. 1 dunia, Maria Sharapova mengesahkan bahawa dia terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Tenis Terbuka Perancis tahun ini kerana masih menjalani proses pemulihan terhadap kecederaan bahu yang dialami sejak awal tahun lalu.

 

Pemain Rusia berusia 32 tahun itu masih belum beraksi dalam mana-mana kejohanan kompetitif sejak menarik diri daripada kejohanan Terbuka St. Petersburg pada Januari lepas.

 

“Saya akui keputusan untuk menarik diri daripada Terbuka Perancis tahun ini sangat sukar untuk dibuat. Namun, ini bukanlah peng­akhiran kepada segalanya kerana saya akan lebih bekerja keras selepas ini.

 

“Berita baik yang boleh saya maklumkan kepada peminat ketika ini adalah saya sudah kembali menjalani latihan di gelanggang dalam mengembalikan semula kekuatan di bahagian bahu. Saya harap dapat kembali secara kompetitif tidak lama lagi,” kata Sharapova.

 

Sharapova yang kini menduduki ranking No. 35 dunia turut mengakui proses pemulihan tersebut mungkin memakan masa yang lama susulan pembedahan bahu yang dilakukan pada Februari lalu.

 

Sebelum ini, juara Grand Slam sebanyak lima kali itu telah menge­cewakan peminatnya apabila terpaksa menarik diri daripada menyertai beberapa siri kejohanan bertaraf Masters pada Terbuka Monte Carlo, Terbuka Barcelona dan Terbuka Itali.

 

Saingan Terbuka Perancis akan bermula secara rasmi pada 26 Mei hingga 9 Jun depan di Roland Garros, yang mana Simona Halep dan Rafael Nadal akan turunmempertahankan gelaran yang dimenangi pada musim lepas. – AFP

 

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2VK8HnI

 

No votes yet