20 November 2019, Wednesday | 01:34pm

Taufan Matmo dan Nakri tidak akan melanda Malaysia - MET Malaysia

2019-11-08

 

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia jangan mudah mempercayai dakwaaan yang tular di media sosial kononnya taufan Matmo dan Nakri akan melanda negara ini.

Kedua-dua taufan berkenaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon tidak akan melanda Malaysia dan orang ramai terutama penduduk di Pulau Pinang tidak perlu bimbang dengan perkara tersebut.

"Taufan Matmo sekarang ni berada betul-betul di Teluk Benggala berhampiran Bangladesh dan Timur India dan ia tidak ada kesan langsung dengan negara kita.

"MET Malaysia menjangkakan ia akan mendarat di sekitar Bangladesh dan Timur India pada esok (Sabtu) atau lusa (Ahad).

"Jadi sebenarnya taufan Matmo ni tidak ada kesan langsung kepada negara kita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

 

Taufan Matmo dan Nakri tidak akan melanda Malaysia - MET Malaysia

Kesan yang minima dijangka berlaku akibat taufan Nakri adalah hujan lebat seperti mana yang berlaku sebelum ini. - Gambar hiasan

 

Sementera taufan Nakri pula, jelas beliau, dijangka melanda Vietnam pada 11 November ini dan bakal memberi kesan yang kecil kepada Malaysia.

"Bagi taufan Nakri, sebenarnya ia bukan taufan tetapi ribut tropika maknanya anginnya tidak sekuat taufan.

"Nakri ini berada di laut sebelah timur Vietnam dan sudah berada di kawasan tersebut sebelum ini sebagai sistem tekanan rendah sejak beberapa hari lalu.

"Ia akan bergerak ke arah Vitenam dan dijangka mendarat di Vietnam pada 11 November nanti," katanya lagi.

Menurut Jailan, kesan yang minima dijangka berlaku akibat taufan Nakri adalah hujan lebat seperti mana yang berlaku sebelum ini.

Berita ancaman taufan Matmo dan Nakri menjadi bahan perbincangan di media sosial dengan dakwaan akan melanda Pulau Pinang bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Sementara itu, Exco Kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan berkaitan dan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

 

 

Sumber: Astro Awani

No votes yet