31 March 2020, Tuesday | 01:19am

Tangani COVID-19: Menteri Pertahanan ASEAN ikrar kerjasama

2020-02-20

 

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan ASEAN komited untuk saling bekerjasama dalam mengendalikan jangkitan COVID-19 yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi serta keselamatan dan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Hanoi, Vietnam pada Rabu, negara anggota mengesahkan komitmen mereka ke arah meningkatkan kerjasama, termasuk dalam kerjasama perubatan ketenteraan dan perkongsian maklumat, untuk memastikan persekitaran aman, selamat dan stabil.

Menteri berkenaan bersetuju untuk memanfaatkan Rangkaian Pakar Pertahanan Kimia, Biologi dan Radiologi ASEAN untuk meningkatkan jaringan profesional, dan menggalakkan kerjasama saintifik dalam mengendalikan wabak penyakit berjangkit.

"Kami (Menteri Pertahanan ASEAN) dengan ini berikrar untuk kekal komited dalam melaksanakan tugas kami dan kekal bersatu dalam usaha menangani wabak COVID-19 untuk kebaikan rakyat negara ASEAN," menurut kenyataan itu.

 

Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN berlangsung di Hanoi, Vietnam, 19 Feb, 2020. REUTERS

 

Dalam mengendalikan COVID-19, menteri berkenaan menggesa kerjasama padu menerusi pelbagai forum termasuk Pusat Perubatan Ketenteraan ASEAN; Persidangan Ketua Turus Perubatan Ketenteraan ASEAN, Persidangan Perubatan Ketenteraan ASEAN serta kerjasama dengan rakan luar mereka dalam Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Ketenteraan, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Campur (ADMM-Campur).

Kenyataan itu juga menggalakkan inisiatif dan cara baharu yang akan menyumbang kepada usaha ASEAN secara menyeluruh untuk menangani berita palsu berkaitan jangkitan COVID-19 dan memastikan rakyat mendapat maklumat betul mengenai keadaannya.

Menteri Pertahanan ASEAN berkenaan turut merakamkan simpati kepada negara, komuniti dan individu yang terkesan dengan wabak itu. -- BERNAMA

 

 

 

 

 

Sumber: Astro AWANI
 

No votes yet