3 December 2020, Thursday | 04:31pm

Tak perlu PKPD menyeluruh di Kuala Lumpur

2020-11-18

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu diadakan secara menyeluruh di ibu kota meskipun peningkatan kes positif COVID-19 berlaku di kawasan berkepadatan tinggi.

Pakar kesihatan awam dan kesihatan pekerjaan sebaliknya berpendapat ia harus dilakukan seperti sekarang, iaitu dibuat secara bersasar.

Pakar perubatan kesihatan awam (epidemiologi), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman, berkata pendekatan PKPD ketika ini tepat kerana dikuatkuasakan mengikuti lokaliti spesifik.

Katanya, kemudahan asrama sememangnya boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penularan COVID-19 berikutan kawasan 'close quaters', iaitu jarak dekat antara satu sama lain serta keadaan tempat penginapan tertutup dikhuatiri turut mempunyai masalah pengudaraan.

"PKPD tidak perlu diadakan hanya semata-mata kerana kepadatan penduduk. Sebaliknya langkah kawalan itu perlu dikenakan mengikut lokaliti tertentu yang terdapat penularan atau peningkatan kes positif tinggi misalnya membabitkan sesebuah taman atau tempat kerja," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Bermula tengah malam tadi, PKPD dilaksanakan di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove di Klang, apabila saringan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 215 kes positif COVID-19.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD di kawasan Jalan Abadi, Klang, itu akan membabitkan 13,190 pekerja yang tinggal di asrama lelaki dan wanita.

Dr Ahmad Zaid Fattah berkata, banyak langkah lain sudah dilakukan KKM bagi penularan jangkitan seperti melakukan pengesanan kes aktif, saringan, kuarantin individu yang disyaki terdedah kepada virus COVID-19 dan kontak rapat.

"Kerajaan juga perlu bertindak agresif dalam mengesan dan kuarantin pekerja asing, terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka golongan berisiko tinggi yang berupaya menjangkiti orang awam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata faktor risiko yang menyumbang kepada kadar kebolehjangkitan tinggi disebabkan keadaan asrama sesak, sempit dan tertutup (confined spaces) serta jika berbual pada jarak dekat.

"Justeru, risiko penularan di asrama pekerja berkemungkinan disebabkan keadaan asrama pekerja disebabkan faktor terbabit. Kadar kebolehjangkitan juga akan menjadi lebih tinggi jika pekerja mengabaikan amalan kerap cuci tangan, bersalaman atau bersentuhan, etika batuk dan bersin, pemakaian pelitup muka serta tidak kerap membersihkan permukaan biasa disentuh," katanya.

Mengulas mengenai keperluan sama ada PKPD perlu dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur atas faktor kepadatan, beliau berpendapat keputusan itu dinilai di semua sudut.

"Keputusan untuk melakukan PKPD perlu mengambil kira bersama beberapa faktor tertentu, penilaian risiko dan disokong dengan data berkaitan taburan penempatan pekerja asing itu.

"Hal ini tidak cukup jika sekadar mengambil kira faktor kepadatan penduduk sahaja. Mungkin pusat kuarantin khas boleh diwujudkan bagi golongan terbabit," katanya.

Sumber: BH Online

 

No votes yet