4 August 2020, Tuesday | 11:09am

Syed Saddiq mohon maaf atas kegagalan kontinjen negara capai sasaran Sukan SEA 2019

2019-12-17

 

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya memikul tanggungjawab penuh di atas kegagalan untuk memenuhi prestasi yang ditetapkan. Ia adalah tanggungjawab bersama di dalam pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), persatuan kebangsaan...saya ingin memohon maaf kepada semua peminat sukan tanah air di atas kegagalan ini.

"Saya telahpun memaklumkan kepada semua supaya tidak membebankan atlet dengan kata-kata negatif. Ambil celaan dan tanggungjawab bersama, ia disasarkan kepada kami dan bukan kepada atlet yang berjuang sekian lama untuk mengharumkan nama negara," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN, hari ini.

Syed Saddiq berkata berdasarkan kepada laporan awal, beberapa kelemahan yang menyebabkan kegagalan itu telah dikenal pasti.

Antara kelemahan tersebut ialah sikap terlalu yakin dalam kalangan beberapa sukan yang diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas seperti sukan memanah, pelayaran dan tenpin boling yang berjaya pada edisi lepas dan kejohanan besar sebelum ini.

Begitu juga dengan sukan baharu diperkenalkan pada temasya kali ini yang sukar untuk dibuat perbandingan sasaran mereka kerana tidak mempunyai latar belakang prestasi yang boleh diukur.

Katanya, kegagalan kontinjen mengambil kira aspek pengadilan dalam penetapan sasaran juga menjadi antara faktor sasaran tidak dapat dicapai.

"Kebangkitan atlet dari negara Vietnam dan Thailand khususnya dalam sukan tradisi seperti olahraga, renang dan pelayaran menyebabkan pingat yang disasarkan tidak dapat dicapai selain daripada Filipina sebagai negara tuan rumah, turut menggagalkan sasaran kita dalam sukan ragbi dan olahraga, khususnya.

Beberapa atlet yang disasarkan telah tewas kepada atlet negara lain terutama tuan rumah yang menggunakan atlet dua kerakyatan, di mana sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod prestasi kerana tidak pernah mewakili negara tersebut," katanya.

Syed Saddiq bagaimanapun berkata terdapat beberapa pencapaian yang tidak boleh dinafikan terutamanya pencapaian atlet pelapis negara yang agak memuaskan dengan lapan atlet pelapis telah menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Kontinjen negara gagal mencapai sasaran awal untuk meraih 70 pingat emas apabila sekadar mengumpul 56 pingat emas, 57 perak dan 72 gangsa pada Sukan SEA Filipina yang menutup tirai pada 11 Dis.

-- BERNAMA

 

 

Sumber: Astro Awani

No votes yet