20 October 2019, Sunday | 02:31am

Suspek kes bunuh ditahan

2019-09-18

GEORGETOWN: Suspek kes bunuh seorang lelaki berhampiran menara jam hadapan Kompleks Bukit Jambul, di sini pada 15 September lalu, ditahan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada jam 3.45 pagi di sebuah kondominium dekat Bayan Lepas.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek mengaku membunuh mangsa dalam kejadian itu.

“Suspek turut mengaku ahli kumpulan Triple Two One (221) kawasan Bukit Jambul.

“Turut dirampas bersamanya adalah topi, seluar jeans, baju T, sepasang kasut, beg tangan dan telefon bimbit.

“Saringan ujian air kencing yang dilakukan turut mendapati dia positif dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Che Zaimani berkata, semakan turut mendapati suspek mempunyai 8 rekod lampau dengan enam daripadanya berkaitan kes dadah.

Katanya, permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa, Mohamad Nurulhudin Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah selepas ditikam di dada kanan.

Dipercayai, mangsa bertemu suspek di lokasi terbabit bagi tujuan menuntut hutang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Suspek yang berang dikatakan terus menikam dada mangsa sebelum melarikan diri bersama seorang lagi rakannya.

Sumber & gambar: Berita Harian https://bit.ly/2kmUQ5v

 

 

No votes yet

Tags: