24 September 2020, Thursday | 04:51pm

Spekulasi harga 250cc empat silinder ZX-250R

2020-07-29

SELEPAS memperkenalkan model Ninja ZX-250R pada Pertunjukan Motor Tokyo yang berlangsung pada November tahun lepas peminat motosikal berkuasa tinggi di Malaysia masih tertanya-tanya bilakah ia akan dibawa masuk secara rasmi di negara ini?

Awal bulan Julai, jentera dengan kapasiti enjin empat silinder empat strok 249.8 cc DOHC penyejukan cecair ini telah dilancarkan secara rasmi di negara jiran Indonesia dan Kawasaki mendedahkan butiran spesifikasi secara terperinci mengenai jentera ini.

Harga yang diumumkan bermula 96,000,000 Rupiah (anggaran RM28,000) untuk model asas sehingga 112,900,000 Rupiah (anggaran RM33,000) untuk model edisi istimewa.

Pada 14 Julai, jentera yang menghasilkan kuasa sehingga 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm ini juga telah dilancarkan untuk pasaran Thailand.

Negara Gajah Putih itu menerima dua pilihan warna iaitu hitam dan juga hijau dengan harga permulaan jualan sebanyak 269,000 Baht (anggaran RM36,245).

Namun Bangkok tidak menerima dua versi seperti Indonesia, hanya satu diperkenalkan yang mana jentera ini telah dilengkapi dengan quickshifter serta brek ABS.

Dengan bersandarkan anggaran harga bermula RM28,000 hingga RM36,000 peminat jentera ini di Malaysia sudah boleh mula mengumpul atau memecah tabung untuk memilikinya.

Ini kerana berdasarkan perbandingan harga di Indonesia, model asas Ninja 250 dijual pada harga 64,100,000 juta Rupiah (anggaran RM18,717), model ZX-250R sekitar 96,000,000 Rupiah (anggaran RM28,000) perbezaannya harganya adalah sekitar RM9,000 hingga RM10,000.

Harga model asas Ninja 250 di Malaysia pula dijual RM 23,000 dan jika ditambah RM10,000 kemungkinan harga ZX-250R yang akan dijual di Malaysia adalah RM33,000.

Umum mengetahui, Kawasaki dan Modenas ada melakukan kerjasama dalam penghasilan model asas Ninja 250.

Jika jentera ZX-250R dipasang di negara ini, sudah pasti harganya akan lebih rendah kerana tidak dimasukkan cukai import.

Bagaimanapun angan-angan itu tampak sukar kerana difahamkan model Kawasaki yang dipasang oleh Modenas dikatakan hanya model yang sedia ada di pasaran negara.

Apa pun ceritanya mengenai ZX-250R ini, peminat dua roda negara sudah pasti tidak sabar menantikan kemunculan 'superbike mini' ini menyelusuri lebuh raya dengan ngauman enjin empat silindernya kerana kali model lamanya ZXR250 di bawa masuk ke Malaysia bermula 1997 hingga ditamatkan riwayat pada 2004.

Model kemas kini dari Kawasaki ini didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan, kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Sebagai keselamatan, kunci motosikal ini juga datang dengan sistem immobilizer.

ZX-250R dibangunkan menggunakan kerangka trellis baharu yang memberikan tunggangan sporty serta ketangkasan pengendalian sama seperti ZX-6R dan ZX-10R.

Sistem brek pula unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang. Tayar adalah bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

Spesifikasi lain adalah seperti suspensi USD SFF-BP 37 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan pra beban di belakang, berat keseluruhan 182 kg, tangki bahan api 15 liter, jarak roda 1,380 mm dan jarak dari tanah 125 mm.

 

 

 

 

 

Sumber: Astro Awani                             https://bit.ly/3jOIM6W

Gambar: imotorbike.my

No votes yet