18 July 2019, Thursday | 11:49am

SPAN tubuh jawatankuasa khas siasat kejadian paip pecah WCE

2019-05-17

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan untuk menyiasat kejadian paip pecah di tapak projek Pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting –Taiping di Klang, pada 5 Mei lalu.

 

Jawatankuasa Khas Siasatan ini dianggotai wakil SPAN dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan daripada Jabatan Bekalan Air, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Sektor Pakar dan Sektor Infra), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan juru perunding bebas.

 

Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata, peranan dan fungsi jawatankuasa itu, antara lain, menjalankan siasatan ke atas punca berlakunya paip pecah di lebuh raya WCE dan memberi syor dan cadangan langkah-langkah bagi mencegah kejadian berulang.

 

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual yang disebabkan oleh penutupan loji rawatan air akibat pencemaran sungai semakin meningkat.

"Justeru, SPAN mengambil beberapa inisiatif untuk menangani isu-isu yang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

 

Antara inisiatif yang diambil ialah dengan mengadakan satu simposium di Johor yang akan membincangkan isu-isu seperti pencemaran sungai, risiko pencemaran akibat penggunaan tanah dan pembangunan di kawasan tadahan sumber air mentah.

 

Simposium tersebut, dijangka dihadiri agensi kerajaan dan pihak berkepentingan, juga akan melihat kepada kajian ketersediaan sumber air di lembangan sungai serta cadangan usaha untuk meningkatkan sumber air.

 

Selain, itu, Jawatankuasa Alam Sekitar di peringkat SPAN akan turut ditubuhkan.

 

Fungsinya, menurut Santiago, termasuk untuk menilai keberkesanan aktiviti pemantauan dan kajian kesan pencemaran sumber air mentah terhadap perkhidmatan bekalan air serta mengesyorkan perkara–perkara berkaitan perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim.

 

Ia katanya, bagi memastikan perlindungan sumber air mentah dalam menjamin kualiti, keselamatan dan kecukupan bekalan air.

 

Baru-baru ini, kejadian paip utama yang berdiameter 1,400mm, 900mm dan 600mm pecah telah mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna di 65 kawasan di Wilayah Klang, melibatkan 175,036 akaun pengguna.

 

Kebanyakan mereka ialah yang mendapat bekalan air dari Kolam Air Bukit Lipat Kajang.

 

Kata Santiago dalam kenyataan itu, gangguan bekalan air di kawasan-kawasan tersebut telah berlanjutan selama seminggu akibat pergerakan tanah yang mengganggu kemajuan kerja-kerja pembaikan paip-paip.

 

Bekalan air hanya dapat dipulihkan sepenuhnya pada 12 Mei 2019.

 

Sumber:AstroAwani/http://bit.ly/2WgwITb

 

No votes yet