25 September 2020, Friday | 12:06pm

Shopee, Lazada jamin pelitup muka cukup

2020-07-30

PLATFORM e-dagang utama di Malaysia, Shopee dan Lazada memberi jaminan bekalan pelitup muka adalah mencukupi, justeru, tidak perlu membuat pembelian panik menjelang kewajipan memakai pelitup muka di tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

Menurut Shopee dan Lazada, wujud permintaan mendadak bagi pelitup muka sejak 23 Julai 2020 apabila kerajaan mengumumkan kewajipan memakainya di tempat awam dan pengangkutan awam susulan peningkatan kes Covid-19 dan kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam kalangan orang awam.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, platform itu menyaksikan lonjakan permintaan pelitup muka 65 peratus berbanding sehari sebelum pengumuman itu dibuat.

Beliau berkata, wujud peningkatan permintaan 40 peratus dari minggu ke minggu bagi pelitup muka dan pelindung muka kanak-kanak sejak pengumuman sekolah akan dibuka pada 1 Julai 2020.

"Sekiranya pengguna mencari barangan di Shopee, mereka boleh melihat ramai penjual menawarkan pelitup muka dengan harga berpatutan. Ketika ini, pembeli di platform kami menawarkan sekotak mengandungi 50 helai pelitup muka pembedahan tiga lapisan di bawah harga siling borong yang terkawal sebanyak RM72.50 (RM1.45 x 50 helai).

"Pengguna juga boleh mendapatkan pelitup muka serendah RM10.90 ketika 'Shocking Sale'," katanya.

Shopee dan Lazada bekerjasama dengan pengeluar, farmasi, pengedar serta penjual untuk memastikan akses dalam talian yang mudah digunakan bagi pembelian pelitup muka dewasa dan kanak-kanak serta pelindung muka di negara ini.

Mereka turut mengutamakan perlindungan dan keselamatan pelanggan dengan meletakkan dasar dan langkah yang ketat bagi memastikan penjual mematuhi peraturan dan mengekalkan harga yang berpatutan iaitu peraturan yang telah ditetapkan sejak pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Selain itu, platform e-dagang utama di Malaysia, Lazada Malaysia dalam satu e-mel memaklumkan pembelian purata harian bagi pelitup muka melonjak tiga kali ganda sejak minggu lalu.

"Kami komited mengekalkan bekalan pelitup muka dan keperluan harian lain yang berkaitan di platform kami bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia menerusi ekosistem jenama, penjual dan rakan kongsi kami," katanya.

Menurut syarikat itu, walaupun negara mengalami kekurangan pelitup muka pada awal pelaksanaan PKP, Lazada Malaysia menjadi pasaran e-dagang pertama tempatan yang menambah semula bekalan pelitup muka dan membekalkannya kepada masyarakat secara harian.

 

 

 

 

 

Sumber: Metro                  https://bit.ly/2Xb22lo

Gambar: malaymail.com

No votes yet