23 August 2019, Friday | 06:39pm

Sepuluh calon Pemain Terbaik Tahunan FIFA 2019 diumum

2019-08-02

LIONEL MESSI, Cristiano Ronaldo dan Virgil van Dijk antara sepuluh pemain yang menyertai senarai pendek sepuluh nama yang tercalon untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan FIFA tahun ini.

Finalis yang dinilai berdasarkan prestai dan pencapaian bersama kelab dan negara dari 16 Julai 2018 hingga 19 Julai 2019 itu turut disertai duo penggempur Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane; bekas pemain Ajax, Frankie de Jong dan Matthijs de Ligt; penyerang Tottenham Hotspurs, Harry Kane; pembelian terbaharu Real Madrid, Eden Hazard serta sensasi muda PSG, Kylian Mbappe.

Kesemua sepuluh pemain tersebut berjaya merangkul trofi utama Eropah, kecuali Salah, Mane dan Van Dijk yang kempunan gelaran Liga Perdana Inggeris yang berjaya dipertahankan Manchester City, bagaimanapun kejayaan mengungguli Liga Juara-Juara memberikan kelebihan buat mereka.

Sementara pemegang gelaran lima kali Ballon d’Or, Ronaldo dan Messi, yang juga pemenang Kasut Emas Eropah, adalah dua nama yang sudah biasa dengan pencalonan ini. Kedua-dua mereka menjulang kejuaraan La Liga dan Serie A.

Tiga calon berhijrah ke kelab baharu, dengan dua anak muda Amsterdam, De Jong dan De Ligt berpisah untuk menyertai Barcelona dan Juventus, juga Hazard yang berjaya memanifestasikan impiannya untuk beraksi dengan jersi Los Blancos.

Anda dialu-alukan untuk mengundi pemain pilihan anda di mana undian pertama akan menyumbang lima mata, pilihan kedua untuk tiga mata dan pilihan ketiga untuk satu mata.

 

Ini dia senarai sepuluh calon untuk merebut anugerah pemain terbaik dunia FIFA 2019.

Senarai sepuluh calon untuk anugerah pemain terbaik dunia FIFA 2019.

 

Keputusan undian peminat kemudiannya akan digabung dengan undian daripada ‘ahli-ahli penting dalam komuniti bola sepak’, para wartawan dan jurulatih skuad kebangsaan serta kapten-kapten pasukan.

Daripada sepuluh nama, senarai akan ditapis sehingga tiga nama terakhir yang akan dijemput untuk menghadiri malam gala Anugerah ‘The Best’ FIFA pada 23 September di Milan, Itali.

Ini merupakan edisi keempat penganjuran anugerah tertinggi individu oleh badan induk bola sepak dunia itu, selepas Ronaldo dinobat sebagai pemenang pertama dan keduanya pada 2016 dan 2017 diikuti Luka Modric pada edisi lepas.

 

 

 

 

 

Sumber: Astro Awani                    https://bit.ly/2Zrhmt7

Gambar: fifa.com

No votes yet