20 May 2019, Monday | 05:36am

Sekatan beli pemain import tambah masalah Kafa

2019-04-24

 

KOTA BHARU - Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) menyifatkan sekatan ‘membeli’ pemain import yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap pasukan Kelantan menambahkan lagi masalah kepada pasukan itu bagi menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini.

 

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, MFL seharusnya bersikap adil berhubung dengan denda terbabit yang akan memberikan kesan kepada persatuan dan pasukan.

 

"Sebelum ini kami (Kafa) sudah setuju bayar tuntutan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales melalui pemotongan geran dan kenapa masih lagi mahu sekat kami mendapatkan pemain import.

"Kami tidak tahu apa kesalahan baharu meyebabkan didenda terbabit, sudah banyak kami dikenakan antara hukuman sekat lesen, sekat geran dan pemotongan mata, selepas ini berapa banyak hukuman lagi kami tidak tahu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, MFL mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Dalam masa yang sama, lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Bibi Ramjani berkata, denda dan hukuman itu seolah-olah mahu Kafa terkeluar dari saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Kita persatuan (ahli gabungan) ibarat anak-anak yang bergelut dengan pelbagai masalah dan tekanan mengadu kepada bapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk ihsan, tetapi usahkan simpati yang dapat, malah tendang terajang dari bapa yang dapat.

"Kalau bukan MFL atau FAM yang boleh jaga (bantu) kami, siapa lagi yang akan jaga kami untuk kelancaran bola sepak negara," katanya.

Sekatan mendapatkan khidmat pemain import baharu, tekanan hebat akan dilalui Kelantan berikutan pasukan itu sangat memerlukan khidmat pemain import, susulan pemain import sebelum ini Raul Tarragona menamatkan kontrak malah pemain import yang ada ketika mutu permainan bukan ditahap seorang pemain asing.

Selepas sembilan perlawanan, Kelantan ketika ini berada di tangga tercorot liga dengan empat mata selepas hanya memperolehi satu kemenangan (dipotong mata), empat seri dan empat kekalahan. - Bernama

Sumber;Kosmo/http://bit.ly/2Ps2arm

No votes yet

Tags: