23 August 2019, Friday | 06:50pm

Saya minta maaf Zulfarhan

2019-08-05

KUALA LUMPUR - ‘Seandainya Zulfarhan masih hidup, saya mahu minta maaf kerana gagal selamatkan dia’.

Itu luahan seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Akmal Akif Alias, 23, selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan bersubahat dan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Muhammad Akmal Akif berkata, dia juga menzahirkan rasa kesal kerana gagal untuk membantu dan menyelamatkannya pada ketika itu.

“Saya nak sangat minta maaf kalau Allahyarham Zulfarhan masih hidup sebab tak dapat nak selamatkan dia.

“Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia di sana, saya percaya dia akan bantu kita dekat sini, Insya-Allah,” katanya seperti laporan eksklusif portal berita MStar di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Akmal Akif memberitahu, tempoh dua tahun yang dilaluinya selepas berdepan dengan kes bunuh itu nyata menjadi igauan ngeri dalam hidupnya.

Menurutnya, dia masih diselubungi perasaan takut untuk berdepan dengan masyarakat berikutan tangkapan negatif terhadapnya biarpun sudah dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan tersebut.

“Bagi saya tempoh dua tahun ini memang sukar walaupun saya tidak bersalah, tetapi selagi saya dikategorikan sebagai orang kena tuduh (OKT) ia bukanlah sesuatu yang mudah dan apa yang terjadi memberi kesan kepada saya dan keluarga.

“Pelbagai kecaman dilemparkan, malah ada segelintir masyarakat memandang serong serta mempertikaikan keputusan mahkamah yang membebaskan saya sehingga saya berasa takut untuk berjumpa dengan orang luar,” katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Muhammad Akmal Akif Alias daripada pertuduhan mencederakan mangsa.

Sementara itu, Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan untuk memanggil enam penuntut universiti tersebut untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.

Enam penuntut tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Turut dipanggil membela diri ialah 12 penuntut universiti sama yang didakwa mencederakan mangsa.

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan               https://bit.ly/2T4Y8qQ

Gambar: peraktoday.com.my

Average: 5 (1 vote)