20 October 2019, Sunday | 02:19am

Russia terlepas kejohanan dunia

2019-09-24

 

RUSSIA akan terlepas aksi Kejohanan Olahraga Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas badan induk dunia IAAF melanjutkan penggantungan terhadap persekutuan negara itu, awal pagi tadi.

IAAF mengesahkan keputusan itu empat hari sebelum pertandingan bermula di Qatar selepas mendengar laporan jawatankuasa bertindak khas yang memantau perkembangan olahraga Russia.

Terdahulu, Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) mendedahkan data sejarah diberikan pihak berkuasa antidoping negara itu “tidak konsisten” sekali gus menyaksikan penyertaan Russia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 terjejas.

“Kami sedar dengan tuduhan manipulasi data dan siasatan terus dijalankan,” kata Rune Andersen, ketua jawatankuasa bertindak khas IAAF. “Oleh itu jawatankuasa ini mencadangkan RUSAF (persekutuan olahraga Russia) tidak dimasukkan semula dan majlis IAAF bersetuju sebulat suara.”

 

COE (tengah) dan Andersen (kanan) menjawab soalan wartawan di Doha, awal pagi tadi. — FOTO AFP

 

Sesetengah atlet Russia yang tidak mempunyai sejarah doping, termasuk atlet lompat tinggi Maria Lasitskene, satu-satunya atlet olahraga Russia yang kini memegang rekod dunia, dibenarkan untuk bertanding sebagai atlet bebas.

 

Maria bertanding atas tiket atlet bebas - FOTO Agensi

 

Bagaimanapun, bendera Russia tidak boleh dikibarkan atau lagu kebangsaan dimainkan.

Presiden IAAF, Sebastian Coe berkata, ahli majlis berasakan penggantungan itu perlu diteruskan.

RUSAF digantung pada November 2015 selepas satu laporan yang dijalankan Wada mendapati bukti penyalahgunaan doping berleluasa dalam sukan di negara itu.

 

 

 

Sumber: Harian Metro

No votes yet