23 August 2019, Friday | 06:43pm

RM3 juta ditarik buat langsai hutang

2019-07-17

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil kira-kira RM3 juta daripada geran tahunan beberapa pasukan bagi melangsaikan hutang terutama membabitkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Perkara itu sebenarnya sudah dimaklumkan oleh badan induk itu sebelum ini bahawa beberapa pasukan yang berdepan masalah hutang akan ditolak menerusi geran tahunan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, jumlah itu membabitkan beberapa kes yang keputusannya sudah dibuat oleh badan induk itu sebelum ini.

“RM3 juta membabitkan beberapa pasukan yang sebelum ini dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Status FAM kerana terbabit dengan isu tunggakan gaji serta didenda kerana melakukan kesalah tertentu.

“FAM sudah berhubung dengan MFL bagi menjelaskan situasi terbabit dan kita hanya mengambil apa yang perlu dibayar saja,” katanya.

Jawatankuasa Status FAM dan Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini membuat beberapa keputusan dengan mengarahkan beberapa pasukan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka serda denda dikenakan atas kesalahan tertentu.  

Ia termasuk, pada Mei lalu Jawatankuasa Tatatertib mengarahkan FELDA United membayar tuntutan bekas pengendalinya, B Sathianathan membabitkan tunggakan baki pembayaran ‘signing fees’ serta tunggakan elaun perumahan.

Kelantan juga termasuk dalam senarai FAM itu selepas Jawatankuasa Status sudah mengarahkan mereka melunaskan tunggakan gaji tiga bekas pemainnya - Mohd Daudsu Jamaluddin sebanyak RM33,000, Norhafiz Zamani Misbah RM87,500 dan Zairul Fitree Ishak dengan RM52,500.

 

Sumber: Berita Harian

Foto: Semuanyabola

No votes yet