19 September 2019, Thursday | 03:00am

Ramai tidak sedar bahaya beli ubat tak berdaftar

2019-08-14

 

KUALA LUMPUR - Tahap kesedaran pengguna terhadap pengambilan dan pembelian ubat tidak berdaftar masih lemah meskipun terdapat pelbagai langkah yang diambil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu itu.
 
Beberapa NGO yang bimbang dengan trend masa kini, terutama penjualan ubat tidak berdaftar menerusi laman sosial yang ternyata dapat menarik minat pengguna, khasnya mereka yang kurang kesedaran dalam hal ini.
 
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman berkata, pengguna sering terpedaya dengan testimoni yang diletakkan bersama iklan ubat yang tidak berdaftar.
 
"Apabila pengguna melihat testimoni yang kata pesakit pulih daripada penyakit mereka, pengguna mudah percaya tanpa membuat semakan bagi mendapatkan bukti tentang kesahihan maklumat yang disampaikan itu.
 
"Ubat tidak berdaftar boleh beri pelbagai kesan buruk kepada pengguna seperti kerosakan buah pinggang dan organ dalaman kerana mungkin terdapat bahan terlarang selain tidak mengikut sukatan yang bersesuaian bagi menghasilkan produk," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
 
Azlin menasihatkan pengguna supaya lebih peka dengan isu tersebut dan sentiasa membuat semakan pada label atau bungkusan ubat yang diiklankan dengan memastikan terdapat ciri-ciri seperti nombor pendaftaran MAL serta label Hologram Meditag mahupun Nombor Notifikasi (NOT).
 
"Ubat dan kosmetik berdaftar telah dinilai serta dipastikan selamat, berkualiti selain berkesan untuk digunakan. PMPM percaya ada banyak produk di pasaran yang tidak diuji dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan," katanya.
 
Sementara itu, menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman, setiap individu mempunyai daya ketahanan diri yang berbeza, secara langsung pengguna tidak boleh terus percaya dengan testimoni iklan produk yang dijual.
 
"Sesuatu ubat (yang tidak berdaftar) itu apabila diambil oleh sesetengah individu akan berkesan, tetapi bagi individu yang mempunyai daya ketahanan berbeza akan berdepan dengan pelbagai masalah. Langkah terbaik adalah dengan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu," katanya.
 
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mencadangkan supaya pihak kementerian dapat mewujudkan satu unit khas bagi memantau dan membantu mereka yang menghasilkan ubat yang berkesan untuk mendaftarkan produk mereka.
 
"Unit itu perlu melihat dari segala aspek, sekiranya produk itu membawa kepada kebaikan, kita harus bantu segera dan sekiranya tidak, tindakan tegas kena diambil supaya yang mereka yang menjual ini tidak menyalahi undang-undang. Kita harus bergerak progresif," katanya.
 
Sebelum ini media banyak melaporkan hasil serbuan dan rampasan daripada pihak penguat kuasa berhubung ubat tidak berdaftar serta kenyataan Kementerian Kesihatan tentang produk yang mengandungi bahan terlarang. - Bernama
 
 
 
 
Sumber: Sinar Harian
 
 
 

Average: 5 (1 vote)