9 April 2020, Thursday | 11:09am

Rakyat Malaysia pulang dari luar negara wajib jalani pemeriksaan kesihatan, kuarantin sukarela

2020-03-19

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara wajib menjalani pemeriksaan kesihatan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin, menerusi tweet di akaun Twitter, berkata warga Malaysia yang kembali dari luar negara juga perlu melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

“Pihak Wisma Putra tetap berpendirian bahawa semua rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari, selaras dengan #PerintahKawalanPergerakan negara,” kata Hishammuddin di laman Twitter.

Perintah Kawalan Pergerakan mula berkuat kuasa pada Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac ini.

Pada Rabu, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin juga melahirkan rasa lega selepas mendapat tahu bahawa pihak berkuasa Indonesia dan penganjur memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan jemaah tabligh di Sulawesi, Indonesia.

“Ramai yang menghubungi saya mengenai perhimpunan tabligh di Indonesia semalam kerana risau ia merebakkan #COVID19, khususnya kepada rakyat Malaysia yang hadir.

“Lega, pihak berkuasa dan penganjur telah putuskan untuk tangguhkan perhimpunan di Gowa,” katanya.

Terdahulu, perhimpunan jemaah tabligh di Sulawesi, Indonesia ditangguh susulan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19.

Pihak berkuasa dan penganjur mencapai kata putus untuk menangguhkan acara yang dijadual berlangsung di Gowa berhampiran bandar Makassar selepas acara sama di Malaysia mencetuskan ratusan kes jangkitan koronavirus tersebut.

Pemerintah Gowa, Adnan Purichta Ichsan Yasin Limpo menjelaskan Perhimpunan Tabligh Sulawesi ditunda dan ribuan peserta dikuarantin sebelum dibenarkan pulang ke kediaman atau negara masing-masing.

Sumber: astroAWANI

 

Average: 5 (1 vote)