Kuala Lumpur: Prestasi pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) di bawah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hanya dapat diketahui pada bulan depan.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pihaknya sedar banyak pihak mengikut rapat prestasi ASB khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
"Kami terus membuat pelaburan yang memberi pulangan kepada pemegang unit.
"Kami sedar tahun ini tempoh sangat mencabar.
"Pengumuman prestasi pelaburan hanya dilakukan bulan hadapan dan ia memberi gambaran bagaimana hasil diterima.
"PNB sentiasa memainkan peranan sebagai pelabur jangka panjang dan mengagihkan dividen realistik kepada pemegang unit.
"Kami mahu buat yang terbaik bukan saja untuk setahun tetapi setiap tahun dalam jangka masa panjang," katanya pada sidang media maya sempena pelancaran Minggu Saham Digital (MSD) di sini, semalam.
Pada tahun lalu, ASB mencatatkan pendapatan 5.0 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.
Manakala pada 2018, pendapatan ASB dicatatkan 6.5 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini tidak menjejaskan trend pelaburan dalam kalangan pemegang unit amanah kendalian ASNB.
Malah, tiada pengeluaran besar-besaran dilakukan dalam kalangan pemegang unit.
Sumber: myMetro