29 March 2024, Friday | 12:51am

Polis guna kamera badan tahun depan

2020-11-19

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka dilengkapi peralatan kamera badan bermula tahun depan, dalam usaha meningkatkan integriti pasukan keselamatan itu dalam tugasnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata perolehan kamera badan itu di bawah pelan pelaksanaan pemasangan kamera badan yang mana ia membabitkan cadangan perolehan sebanyak 2,168 unit kamera jenis 4G.

"Perolehan peralatan ini akan dilaksanakan pada tahun depan. Kerajaan komited untuk melaksanakan projek pemasangan kamera badan ini mengambil kira kesan positif yang dapat diperoleh bagi mengurangkan kes aduan, perbuatan salah laku dan rasuah dalam kalangan anggota di lapangan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan rancangan melaksanakan pelan memasang kamera badan pada anggota PDRM bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.

Hamzah berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat berhubung isu integriti anggota PDRM dan penggunaan kamera badan ketika penugasan akan memartabatkan reputasi serta meningkatkan persepsi positif rakyat kepada PDRM.

"Penggunaan kamera badan dijangka dapat meningkatkan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan selain meningkatkan hubungan positif antara polis dan masyarakat," katanya.

Sumber: BH Online

 

No votes yet